KUALA SELANGOR: Memorandum terperinci cadangan pengharaman rokok elektronik atau vape dijangka dibentangkan kepada jemaah menteri selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, laporan awal mengenai cadangan itu sudah pun dibentangkannya dalam mesyuarat Kabinet semalam dan kini jawatankuasa kepakaran kementeriannya sedang melengkapkan laporan penuh sebelum diserahkan semula bagi pertimbangan kerajaan.
“Selewat-lewatnya kita jangkakan pembentangan memorandum penuh dapat dibuat sebelum hujung tahun ini.
“Selepas itu, baru keputusan muktamad mengenai pengharaman vape dapat dilaksanakan,” katanya selepas merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor, hari ini.
Kelmarin, beliau memaklumkan Dewan Rakyat bahawa jawatankuasa kepakaran KKM sedang menyiapkan laporan terperinci berhubung cadangan pengharaman vape.
Laporan itu turut mengambil kira mengenai penggunaan kandungan terlarang terutama dadah dan kesan sampingan seperti vape induced lung injury (EVALI).
Sebanyak 83 laporan kes penyakit yang dikaitkan dengan penggunaan produk merokok termasuk vape dicatatkan sehingga Jun lalu.
Daripada jumlah itu, 44 kes melibatkan komplikasi serius yang memberi kesan kepada paru-paru, manakala 39 kes lagi melibatkan komplikasi kesihatan lain yang tidak melibatkan paru-paru secara langsung.
Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan tidak menetapkan tempoh masa atau tarikh kerana memastikan pelaksanaannya secara menyeluruh atau separuh jalan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri amat komited terhadap usaha itu dan mahu menyegerakan proses pengharaman tersebut. Seperti yang saya sebut, isu vape bukan soal diharamkan, namun kita sudah ada Akta 852 yang mengawal selia produk rokok termasuk vape,” jelasnya.
Tambah beliau, penguatkuasaan pengharaman sepenuhnya perlu dilaksanakan secara tuntas di seluruh negara.
































