Pasukan bomba sedang mengeluarkan keenam-enam mangsa di dalam kereta yang terbabas ke dalam parit dekat Kampung Chodoi, Jalan Sultan Suleiman Shah, Banting, di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
KUALA LANGAT: Empat remaja maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Corolla dinaiki enam sekawan yang terbabas ke dalam parit dekat Kampung Chodoi, Jalan Sultan Suleiman Shah di sini, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, tiga daripada mereka maut di tempat kejadian sementara seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Kecemasan, Hospital Banting kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada pemandu dan penumpang hadapan berusia 16 tahun serta seorang penumpang di belakang berusia 19 tahun. Sementara mangsa yang meninggal di hospital juga berusia 19 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai mengantuk dan terlelap sebelum kereta dipandunya itu hilang kawalan dan terbabas.
Menurutnya, kesemua pemandu dan penumpang dalam perjalanan dari Pantai Morib ke Batu 9, Kebun Baru di Teluk Panglima Garang.
“Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5 pagi. Apabila tiba di tempat kemalangan, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan terbabas masuk ke dalam parit di bahu jalan lalu melanggar tembok parit tersebut.
“Pemandu juga didapati berusia 16 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.
Jelasnya, dua lagi mangsa berusia 15 hingga 19 tahun yang juga berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kaki.
Mohd. Akmalrizal berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut.
“Kesemua waris mangsa yang terlibat dengan kemalangan hadir membuat laporan polis dan dirakam percakapan oleh pegawai penyiasat. Kes kemalangan itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Inspektor S. Taneswaran di talian 012-7608561 atau 03-31872222.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti ialah Muhammad Adib Anuar, 16, dan Hariz Nazri, 19, sementara mangsa ketiga belum diketahui identitinya.
Sementara mangsa yang cedera pula Daniel Iqkwan Jalaluddin, 15, dan Muhammad Danish Farhan Alias, 19, sementara seorang lagi belum dikenal pasti identitinya.
































