Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Amaran keras diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam penjualan video pornografi berikutan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang berkuat kuasa sejak April lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pindaan itu turut menjadikan penjualan video berunsur pornografi sebagai satu jenayah yang boleh ditangkap.
Katanya, arahan juga telah dikeluarkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan individu terbabit.
“Kami telah meminda akta komunikasi termasuk menjadikan jualan video yang bersifat pornografi sebagai satu jenayah yang boleh ditangkap. Saya beri amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba melakukan perkara ini,” katanya.
“Bagi tindakan penguatkuasaan, kita serahkan kepada PDRM dan MCMC. Setakat ini saya belum ada maklumat baharu, tetapi orang ramai boleh merujuk terus kepada pihak PDRM untuk sebarang perkembangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program “Denyut Nadi Merdeka”: Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025, hari ini.
Fahmi menegaskan, sebarang transaksi berkaitan bahan lucah juga merupakan satu kesalahan yang boleh ditangkap mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam aktiviti berkenaan serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan undang-undang dipatuhi demi kepentingan masyarakat.
Pada 17 Ogos lalu, media melaporkan pelakon Zarina Anjoulie atau lebih dikenali Anju dilihat bermesra dengan penggiat aktiviti persundalan, Hot Daddy, sekali gus mencetuskan spekulasi dan perhatian masyarakat.
Anju turut memberi ‘teaser’ mengenai kandungan video bersama Daddy Ash di Telegram, dengan pengikut dikhabarkan perlu membayar sejumlah wang untuk melanggan kandungan khas dan rahsia itu.
Namun pelakon itu menerusi akaun Instagram miliknya menafikan tuduhan video bersama Daddy Ash di Telegram merupakan kandungan lucah seperti didakwa segelintir pihak.































