KUALA LUMPUR: Seramai 71 individu termasuk lapan warga asing dipercayai keldai akaun sindiket penipuan ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam 59 serbuan di seluruh negara antara 29 hingga 31 Julai lalu.
Daripada jumlah itu, 55 lelaki dan lapan wanita adalah rakyat tempatan, manakala lapan lelaki warga asing turut diberkas.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, operasi dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) itu bertujuan mengesan lokasi pengeluaran wang menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik keldai akaun.
Menurutnya, mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 50 tahun dipercayai terlibat dalam pelbagai penipuan termasuk penipuan telefon, pinjaman tidak wujud, ah long dan pengurup atau pengirim wang tanpa lesen.
“Serbuan dijalankan di Pulau Pinang (11), Perak (5), Selangor (3), Kuala Lumpur (24), Pahang (4), Sabah (8) serta Sarawak dan Negeri Sembilan masing-masing dua.
“Polis turut merampas 925 kad ATM pelbagai bank, 100 telefon bimbit, 32 simkad, 16 beg, wang tunai RM392,266, 55 dokumen pinjaman, borang permohonan, salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), 10 fail, dua buku cek kosong, satu resit cek RM90,961, lima kereta dan pelbagai barangan elektronik,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK di sini hari ini.
Sebanyak 42 kertas siasatan dibuka melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 420, 424, 424A dan 511 Kanun Keseksaan, Seksyen 5(2), 15A(1)(b) dan 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
“Setakat ini, 16 orang telah dituduh, masing-masing enam di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955 dan 10 di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan. Baki 55 individu dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan,” katanya.
Beliau menegaskan, memberikan akaun bank untuk dipinjam atau disewa, atau menjadi ‘runner’ mengeluarkan wang menggunakan kad ATM milik orang lain adalah kesalahan jenayah.
































