KEMAMAN: Enam pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah agama bantuan kerajaan di daerah ini ditahan reman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes pukul dan buli seorang pelajar lelaki, bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, perintah reman hingga Ahad ini ke atas keenam-enam pelajar tingkatan empat itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, semua pelajar berusia 16 tahun itu ditahan polis pagi semalam selepas hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi membantu siasatan susulan polis menerima laporan mengenai kejadian kes itu.
“Mangsa yang berusia 15 tahun mendakwa dipukul di bilik asrama oleh beberapa pelajar pada 30 Julai lepas, kira-kira pukul 1.30 pagi. Mangsa mendakwa mengalami kecederaan ringan pada bahagian badan selepas kejadian itu dan membuat laporan polis pada 3 Ogos lalu,” katanya hari ini


































