PETALING JAYA: Serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediaman pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang dipercayai terlibat kes rasuah perolehan tender projek pembinaan pusat data menemukan wang tunai hampir RM1 juta yang dibakar.
Menurut Utusan Malaysia, wang kertas RM100 ditemukan sudah terbakar ketika serbuan dijalankan di rumah suspek yang terletak di Petaling Jaya pada Khamis lalu.
Tindakan itu dibuat susulan suspek terkejut dengan serbuan dijalankan SPRM.
Menurut sumber, suspek dipercayai bertindak nekad mengambil beberapa bungkusan wang tunai dan cuba melupuskannya dengan membakarnya.
“Selepas pintu rumah berjaya dibuka, pasukan SPRM yang membuat serbuan mendapati keadaan dalam rumah berkenaan dipenuhi asap tebal berpunca dari sebuah bilik mandi.
“Hasil pemeriksaan dijalankan di bilik mandi berkenaan, SPRM menemukan wang kertas RM100 berjumlah RM1 juta yang sudah terbakar,” katanya.
Sumber berkata, SPRM kemudian menemukan wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan dalam beberapa kotak bantal.
Turut ditemukan tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier, selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.
“Kesemua barangan berkenaan disita bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai tindakan suspek yang membakar wang kertas berkenaan.
Beliau berkata, tindakan suspek cuba melupuskan bahan-bahan bukti merupakan satu kesalahan serius yang boleh didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
“Fokus utama siasatan kes ini adalah di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009,” katanya.
































