Liew (duduk, kiri) mendengar pertanyaan daripada ejen berdaftar program.
KOTA KINABALU: Pengerusi Program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H), Datuk Seri Christina Liew memuji ejen berdaftar atas kemajuan yang dicapai setakat ini.
“Kami (Jawatankuasa Sabah-MM2H) telah menerima lebih banyak permohonan daripada pemohon dari China, Taiwan dan negara-negara lain. Kami menggalakkan anda semua untuk terus mempromosikan program ini kepada bakal pemohon di luar negara melalui jelajah promosi atau platform lain.
“Kami berharap lebih ramai warga asing akan membeli hartanah di sini dan mempertimbangkan Sabah sebagai rumah kedua mereka,” katanya semasa pertemuan dengan 25 ejen di sini pada Khamis.
Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, turut memaklumkan beberapa pindaan terhadap kriteria penyertaan program itu yang telah diluluskan Kabinet Negeri.
Antaranya, umur minimum untuk memohon kini diturunkan kepada 25 tahun berbanding 30 tahun sebelum ini. Selain itu, pemohon yang berjaya boleh meletakkan deposit tetap wajib (sebagai salah satu syarat) di mana-mana 12 bank komersial yang dibenarkan, serta dibenarkan mengeluarkan 50 peratus daripada jumlah deposit tetap itu selepas 12 bulan bagi tujuan pendidikan atau rawatan perubatan.
Secara umumnya, para ejen menyambut baik pindaan itu dan berpendapat bahawa kriteria baharu adalah lebih mesra dan menarik minat lebih ramai pemohon berpotensi.
Liew juga mengambil maklum beberapa kebimbangan dan isu yang dibangkitkan oleh para ejen, termasuk berkaitan klasifikasi bangunan yang boleh dibeli, serta aspek lain.
“Kita akan bincang dan teliti isu-isu ini dalam mesyuarat bulanan akan datang dan akan memaklumkan kepada anda semua,” katanya lagi sambil menambah bahawa Jawatankuasa Sabah-MM2H telah menjalankan tugas dengan cekap dalam memproses dan meluluskan permohonan pemohon luar negara untuk menyertai program itu.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian berkenaan, Datuk Josie Lai dan ahli-ahli Jawatankuasa Sabah-MM2H.
































