Budak lelaki dipercayai berusia 12 tahun dilihat berbaring di atas rel ketika sebuah kereta api meluncur laju melintasinya.
NEW DELHI: Seorang kanak-kanak lelaki dan dua rakannya disiasat pihak berkuasa selepas dirakam melakukan aksi berbahaya dengan berbaring di atas landasan ketika sebuah kereta api melintas di daerah Boudh, timur India.
Menurut Utusan Malaysia, insiden yang mengancam nyawa itu berlaku berhampiran kampung Talupali, berdekatan stesen Purunapani, pada 29 Jun lalu.
Dalam video tular di platform berita tempatan, budak lelaki yang dipercayai berusia 12 tahun itu dilihat berbaring di atas rel ketika sebuah kereta api meluncur laju melintasinya.
Seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun dipercayai merakam aksi berbahaya itu, manakala rakan ketiga hanya berdiri sambil memerhati.
Sebaik sahaja kereta api melintas, budak itu bangun tanpa sebarang kecederaan, manakala dua rakannya kedengaran bersorak dan bertepuk tangan.
Menurut laporan penyiar berita India, NDTV, budak lelaki tersebut memberitahu polis kononnya idea itu datang daripada rakan dan berharap rakaman tersebut tular di media sosial.
“Apabila kereta api melintas, jantung saya berdegup kencang. Saya tak sangka akan selamat,” kata budak lelaki tersebut yang dipetik dalam laporan NDTV.
Rakaman yang dimuat naik ke media sosial itu mencetuskan kebimbangan mengenai ‘kegilaan’ golongan muda untuk mengambil risiko demi meraih populariti di platform digital.
Walaupun video itu dipadam daripada sumber asalnya, beberapa platform berita tempatan dilaporkan menyiar semula klip berkenaan.
NDTV melaporkan, polis tempatan menahan ketiga-tiga remaja terbabit, yang tidak didedahkan identiti, untuk siasatan lanjut.
Pasukan Perlindungan Kereta Api turut membuka kes terhadap dua daripada tiga remaja berkenaan.
“Ini adalah perbuatan yang sangat bahaya dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” kata jurucakapnya seperti dilaporkan The Times of India.
Insiden berlaku hanya beberapa minggu selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi, merasmikan perkhidmatan kereta api baharu di daerah berkenaan.


































