KUALA LUMPUR: Negara-negara pemilik senjata nuklear (NWS) masih belum mengiktiraf Asia Tenggara secara rasmi sebagai zon bebas senjata berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan itu menerusi ucapan pembukaannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Katanya, Asia Tenggara pada ketika ini kekal satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang belum diiktiraf secara rasmi oleh NWS melalui penandatanganan dan pengesahan Protokol Perjanjian.
“Sehubungan itu, kita mengalu-alukan kesediaan NWS untuk berinteraksi dengan ASEAN ke arah menandatangani dan mengesahkan Protokol Perjanjian berkenaan.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa perjanjian terbabit bukan sekadar dokumen perundangan, tetapi satu komitmen yang hidup dan dinamik, serta menyumbang kepada usaha perlucutan senjata di peringkat serantau dan global,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, kelmarin.
Mohamad ketika ditemui media berkata, beberapa negara telah menyatakan persetujuan untuk menandatangani Perjanjian SEANWFZ.
“Negara China telahpun menyatakan kemahuannya untuk menandatangani tanpa sebarang syarat, malah ada juga dua, tiga buah negara lain telah menghubungi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Mereka juga mahu untuk berbincang dan meneruskan perbincangan yang tertangguh berkenaan perjanjian tersebut. Jadi, ini satu perkembangan yang baik,” katanya.
Mohamad turut menegaskan komitmen Malaysia untuk mengekalkan Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata nuklear, di sebalik cabaran keselamatan global yang semakin kompleks dan berisiko tinggi.
Katanya, ancaman nuklear hari ini lebih berbahaya berbanding zaman perang dingin hasil gabungan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan peperangan siber.
“Ketika ini, rejim bukan penyebaran senjata nuklear global sedang berada di bawah tekanan serius. Hakisan kepercayaan antara kuasa-kuasa nuklear, digabungkan dengan pemodenan persenjataan nuklear, membangkitkan bayangan kebangkitan semula dan evolusi persenjataan nuklear yang lebih berbahaya.
“Teknologi-teknologi baharu seperti peperangan siber, pengkomputeran kuantum dan kecerdasan buatan (AI) menambah lagi lapisan kerumitan. Integrasi teknologi ini ke dalam sistem ketenteraan strategik telah menjadikan kita semua lebih terdedah, serta meningkatkan risiko konflik yang boleh mencetuskan bentuk ancaman paling berbahaya dalam era moden,” katanya.
Dalam masa yang sama, Mohamad berkata, Penyertaan Timor Leste sebagai anggota baharu ASEAN pada Oktober ini akan membantu meluaskan skop geografi bagi Protokol Perjanjian SEANWFZ.
Jelasnya, penyertaan negara itu akan meluaskan skop geografi bagi perjanjian berkenaan.
Perjanjian SEANWFZ yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok ditandatangani pada Disember 1995 di Bangkok oleh 10 negara anggota ASEAN dan mula berkuat kuasa pada Mac 1997.
Di bawah protokol itu, negara anggota NWS perlu menghormati Perjanjian SEANWFZ dan tidak menyumbang kepada apa-apa perilaku yang menjadi pelanggaran kepada perjanjian dan protokolnya, tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana pihak, serta tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear dalam zon berkenaan.





























