PEKAN: Polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) giat mengesan individu yang bertanggungjawab menyebarkan beberapa klip video palsu menyerupai wajah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada pihak Istana Pahang berhubung penyebaran video tersebut yang tular dalam platform TikTok sejak dua hari lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati video berkenaan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan disebarkan menerusi beberapa akaun palsu yang mendakwa Al-Sultan Abdullah menawarkan bantuan kepada rakyat.
“Kes telah dirujuk kepada SKMM dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kita juga dapati akaun TikTok yang digunakan menyebar video berkenaan adalah akaun palsu,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pahang di Dewan Seri Temenggung, Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini kelmarin.
Yahaya menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sebarang kandungan atau video terutama yang membabitkan institusi diraja agar tidak terpedaya dengan penipuan media sosial.
Terdahulu, Istana Pahang dalam kenyataan rasmi di laman Facebook Kesultanan Pahang mendedahkan beberapa video palsu sedang giat disebarkan melalui akaun TikTok ‘datuk_abdul_majid’, ‘datokfahrolaziz07’ dan ‘datuk_abdul_majid7’.
Menerusi kenyataan itu, Istana Pahang menegaskan bahawa video terbabit merupakan penyalahgunaan imej Sultan Pahang untuk tujuan penipuan dan memperdaya masyarakat.































