FRANKFURT: Jerman menggesa Apple dan Google untuk menyekat perkhidmatan kecerdasan buatan China, DeepSeek, daripada gedung aplikasi mereka di negara itu, susulan kebimbangan terhadap perlindungan data pengguna.
Menurut Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Perlindungan Data Jerman, Meike Kamp berkata, permintaan itu dibuat kerana DeepSeek didapati memindahkan data peribadi pengguna secara haram ke China.
Menurutnya, kedua-dua gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu perlu menyemak permintaan berkenaan dan memutuskan sama ada akan menyekat aplikasi tersebut di Jerman.
Bagaimanapun, pejabatnya tidak menetapkan tempoh masa tertentu untuk tindakan itu diambil.
Permintaan Jerman itu dibuat susulan selepas tindakan sama dilakukan negara lain terhadap DeepSeek.
Google dalam maklum balas ringkas memaklumkan menerima notis berkenaan dan sedang menyemak, manakala Apple pula tidak memberikan sebarang kenyataan setakat ini.
Berdasarkan polisi perlindungan, DeepSeek menyimpan pelbagai maklumat peribadi pengguna termasuk fail dimuat naik dan permintaan dihantar ke program AI mereka di pelayan yang terletak di China.
“DeepSeek gagal mengemukakan bukti meyakinkan kepada agensi saya bahawa data pengguna dari Jerman dilindungi di China mengikut tahap perlindungan yang setara dengan undang-undang Kesatuan Eropah,” kata Kamp.
Beliau turut berkata, pihak berkuasa China memiliki kuasa luas untuk mengakses data peribadi yang berada dalam lingkungan syarikat yang dimiliki atau berpangkalan di negara itu.
Menurut Kamp, langkah itu diambil selepas pihaknya meminta DeepSeek untuk memenuhi syarat pemindahan data bukan EU atau menarik balik aplikasinya secara sukarela pada Mei lalu, namun syarikat berkenaan gagal mematuhi arahan tersebut.






























