Azzamudin Ahmad menunjukkan contoh bot yang karam semasa sidang akhbar di IPD Besut, Terengganu.
BESUT: Tiga termasuk dua kanak-kanak maut apabila bot pelancong yang membawa 15 penumpang terbalik dibadai ombak kuat di perairan Pulau Perhentian, di sini malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, bot bot yang dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil menuju ke Pulau Perhentian Besar dipercayai hilang kawalan dan terbalik kira-kira 0.05 batu nautika dari Cozy Chalet Resort.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden tersebut melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan pada pukul 10.55 malam, sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada pukul 11.17 malam.
“Setibanya di lokasi kejadian, penduduk kampung telah bertindak pantas memberikan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, insiden itu melibatkan sembilan orang dewasa iaitu empat wanita dan lima lelaki berusia antara 19 tahun hingga 57 tahun serta enam kanak-kanak berusia lingkungan tiga tahun hingga 11 tahun.
“Dua kanak-kanak iaitu seorang lelaki berusia enam tahun dan seorang perempuan berusia tiga tahun, serta seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia.
“Mangsa yang terselamat dibawa ke Jeti Pelancong Besut menggunakan Bot Maritim Penggalang 45 sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azzamudin Ahmad@Abu berkata, tiga mangsa berusia tiga tahun, 10 dan 40 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai lemas selepas bot karam.
Menurutnya, 13 lagi mangsa termasuk pemandu bot berjaya diselamatkan namun seorang kanak-kanak berusia enam tahun dalam keadaan kritikal dibawa ke hospital Besut untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai S. Arumugam, 40; A. Sarrvihka, 3, dan V. R. Vennpani , 10. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Nur Zahirah untuk bedah siasat,” katanya dalam sidang akhbarv di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, di sini, hari ini.
































