Panda merah dibenarkan masuk ke bilik hotel untuk mengejutkan tetamu.
CHONGQING: Sebuah hotel percutian bertemakan panda merah di wilayah pergunungan berhampiran bandar Chongqing dikecam selepas menggunakan haiwan itu untuk mengejutkan tetamu dari tidur.
Menurut Utusan Malaysia, Lehe Ledu Liangjiang Holiday Hotel yang mempromosikan ‘percutian bertemakan panda merah’ sebelum ini membenarkan haiwan berbulu comel tersebut memasuki bilik penginapan untuk memberi kejutan pagi kepada pelancong, namun tindakan itu mengundang kritikan meluas selepas tular dalam media sosial.
Rakaman video yang dimuat naik oleh pengunjung menunjukkan panda merah, spesies terancam bermain di atas katil dan berinteraksi secara langsung dengan tetamu hotel.
Perkhidmatan mesra haiwan itu menjadi tumpuan media tempatan selepas sebuah majalah China menerbitkan artikel berkaitan, mencetuskan perdebatan hangat mengenai etika dan kebajikan haiwan di platform media sosial negara itu.
Susulan pendedahan tersebut, Biro Perhutanan tempatan menjalankan siasatan dan mengarahkan serta-merta agar semua aktiviti melibatkan kontak rapat dengan panda merah dihentikan.
Biro itu memaklumkan sebarang pelanggaran lanjut akan dilaporkan, satu isyarat yang sering dianggap sebagai amaran terhadap kemungkinan tindakan pendakwaan atau denda.
Menurut laporan China Newsweek, kakitangan hotel menyatakan tempoh panda merah berada dalam bilik tetamu bergantung kepada mood haiwan tersebut pada hari berkenaan.
Sebagai maklum balas terhadap kebimbangan umum mengenai kebersihan dan keselamatan kanak-kanak, hotel menegaskan kesemua panda merah telah menerima vaksin dan kanak-kanak hanya dibenarkan berinteraksi dengan kehadiran orang dewasa.
Panda merah kini disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dengan anggaran kurang daripada 10,000 ekor masih hidup di habitat liar.


































