Seorang lelaki warga emas dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban semalam bagi mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pakej haji.
SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Seremban semalam bagi membantu siasatan berhubung kes 47 orang rakyat Malaysia ditipu ejen haji tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, perintah reman sehingga 19 Jun itu dikeluarkan Majistret Fairuz Shuhada Amran bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Kelmarin media melaporkan hasrat 47 orang warga emas Malaysia untuk menunaikan haji berkecai apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan.
Dilaporkan kesemua warga emas itu dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin susulan laporan polis yang dibuat oleh waris salah seorang mangsa di Mantin di sini.
“Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka. Siasatan awal mendapati mereka mengalami kerugian sebanyak RM81,000 dengan setiap seorang daripada mereka telah membayar RM27,000 kepada suspek bagi menyertai pakej haji yang ditawarkan,” katanya.
Menurut beliau, polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada penipuan tersebut dilakukan secara individu atau membabitkan syarikat tertentu.
Dzaffir juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa yang terlibat dalam skim penipuan ini.
“Orang ramai yang pernah berurusan dengan suspek atau menjadi mangsa kepada skim penipuan pakej haji yang serupa diminta tampil ke hadapan untuk membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya.


































