NEVADA: Seorang wanita muda yang awalnya hanya mengalami sakit ringan di bahagian kanan atas rahangnya, akhirnya disahkan menghidap sejenis kanser jarang ditemui sebelum penyakit itu meragut wajah dan nyawanya.
Menurut Utusan Malaysia, Nicole Kowalski-Kleinsasser, 25, dari Nevada, mula mendapatkan rawatan pada tahun 2017 selepas mengadu kesakitan di bahagian rahang yang mengganggu tidurnya namun, pemeriksaan awal oleh doktor gigi mendapati tiada sebarang masalah pada gigi dan beliau hanya diberikan antibiotik atas sangkaan ia disebabkan jangkitan sinus biasa musim sejuk.
Malangnya, ubat yang diberi tidak berkesan dan setelah menjalani imbasan X-ray, barulah diketahui punca sebenar sejenis kanser yang sedang membiak secara senyap dalam mukanya.
Nicole disahkan menghidap kanser kelenjar air liur, sejenis penyakit jarang berlaku yang bermula di tisu pengeluar air liur dalam mulut, dengan hanya kira-kira 720 kes dilaporkan setiap tahun.
Walaupun pada awalnya ketumbuhan itu disangka tidak berbahaya, hasil ujian lanjut selepas dibuang mengesahkan ia merupakan kanser.
Nicole kemudian menjalani 30 sesi radioterapi yang menyakitkan dalam usaha membunuh baki sel kanser, yang disifatkannya seumpama kulit dibakar hidup-hidup.
Bagi membolehkannya makan, bercakap dan minum, Nicole dipasangkan alat khas yang dikenali sebagai obturator untuk menutup lubang di lelangit mulut namun, alat itu sangat tidak selesa dan menyakitkan, selain memerlukan penjagaan berterusan.
Apabila pulih daripada pembedahan, beliau mendapati susunan giginya berubah akibat struktur rahangnya telah diubah, sesuatu yang amat menyedihkan.
Pihak perubatan pada awalnya mengesyaki perubahan tersebut disebabkan oleh nekrosis, iaitu kematian tisu dalam mulut akibat pembedahan, namun ujian lanjut mendapati kanser itu telah kembali menyerang.
Rawatan seterusnya menyaksikan tujuh lagi batang gigi dan keseluruhan lelangit mulutnya terpaksa dibuang.
Dia sekali lagi bergantung kepada beberapa obturator untuk menjalankan rutin harian bagaimanapun, selepas pembedahan dan rawatan intensif, Nicole diisytiharkan bebas daripada kanser dan kembali menjalani kehidupan normal namun dua tahun kemudian, penyakit tersebut muncul semula buat kali ketiga dan kali ini yang terakhir.
Pasukan perubatan terpaksa membuang sebahagian wajah luar Nicole dan menampalnya menggunakan kulit dari pahanya.
Nicole mengakui amat sukar menerima perubahan wajah yang berlaku, setelah sekian lama berusaha untuk menerima kesan akibat kehilangan gigi dan bentuk muka yang berubah.
Nicole meninggal dunia pada 23 Januari tahun ini di hospital pada usia 33 tahun.
Antara tanda-tanda kanser kelenjar air liur termasuk benjolan tidak sakit di rahang, pipi, mulut atau leher, kebas pada sebahagian wajah, wajah terjatuh sebelah dan kesukaran menelan serta lazim menyerang mereka berusia 50-an dan 60-an.


































