KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) membuka tirai dengan didahului dua mesyuarat persediaan membabitkan pegawai-pegawai tinggi ASEAN.
Menurut Utusan Malaysia, mesyuarat tersebut adalah Mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) dengan dihadiri oleh wakil-wakil tetap ASEAN, Duta Besar Timor-Leste dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik – Keselamatan ASEAN (APSC) di sebelah pagi.
Sebelah petang pula diadakan Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN (Prep-SOM), Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Mesyuarat Persediaan ASEAN-GCC-China.
Prep-SOM merupakan mesyuarat penyelarasan utama yang diadakan sebelum Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) dan mesyuarat peringkat menteri atau sidang kemuncak.
Dalam pada itu, pakar ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai berkata, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kali ini mampu menjana pulangan dan pendapatan lebih RM100 juta.
Katanya, jumlah tersebut sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi tempatan terutamanya melibatkan perkhidmatan perhotelan dan pengangkutan.
Selain itu, Barjoyai berkata, penganjuran sidang kemuncak itu juga bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memberi lonjakan kepada negara sebagai destinasi pelancongan.


































