Harun bergambar bersama Ustaz Dr. Das’ad Latiff selepas majlis.
PITAS: Hampir 10,000 penduduk membanjiri Ceramah Perdana bertajuk “Hidup Mardhatillah: Antara Ibadah, Rezeki, Syukur dan Sabar” yang disampaikan oleh pendakwah tersohor Nusantara dari Indonesia, Ustaz Dr. Das’ad Latiff di sini malam tadi.
Kehadiran luar biasa itu yang melebihi jangkaan penganjur jelas menunjukkan komitmen masyarakat Pitas terhadap program keagamaan, sekali gus membuktikan kejayaan penganjuran ceramah berkenaan.
Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS), Datuk Harun Ismail berkata, gaya penyampaian Ustaz Dr. Das’ad yang santai dan bersahaja berjaya menarik perhatian hadirin, menjadikannya antara penceramah paling diminati.
“Sebelum ini, kita hanya mampu menonton ceramah beliau di kaca televisyen, Forum Perdana atau media sosial.
“Namun malam ini, masyarakat Pitas sangat bertuah kerana dapat menyaksikan beliau secara langsung,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Menurut Harun, jemputan kepada Ustaz Dr. Das’ad telah dirancang sejak sekian lama dan dengan izin Allah SWT, akhirnya beliau dapat hadir ke Pitas untuk menyampaikan ceramah.
“Meskipun jadual beliau sangat padat, namun Pitas tetap menjadi salah satu destinasi jelajah beliau kali ini.
“Saya menyeru masyarakat Pitas agar terus menyokong penganjuran program keagamaan seperti ini demi memelihara perpaduan, kebersamaan dan keharmonian,” kata Harun.
Beliau turut mengajak semua pihak agar berganding bahu dan mencari titik persamaan supaya program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
“Mudah-mudahan Pitas terus disuburkan dengan majlis ilmu agama dan diberkati Allah SWT.
“Kita juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Wanita USIA Pitas dan PDIS yang bertungkus lumus memastikan kelancaran majlis malam ini,” katanya lagi.


































