WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap Apple dan pengeluar telefon pintar lain sekiranya peranti mereka tidak dihasilkan di AS.
Menurut Utusan Malaysia, Trump sebelum ini berkata, tarif itu hanya akan dikenakan kepada Apple yang juga menjadi satu langkah luar biasa yang menyasarkan sebuah syarikat tertentu dalam dasar perdagangan sebelum meluaskan ancaman tersebut kepada semua pengeluar telefon pintar.
“Ia juga akan melibatkan Samsung dan sesiapa sahaja yang menghasilkan produk itu. Jika tidak, ia tidak adil,” kata Trump kepada pemberita di Washington, sambil menambah tarif baharu itu dijangka berkuat kuasa menjelang akhir Jun.
Walaupun Apple mereka bentuk produknya di AS, majoriti pemasangan iPhone dilakukan di China yang kini masih terlibat dalam perang perdagangan dengan Washington.
Apple sebelum ini mengumumkan rancangan untuk memindahkan sebahagian pengeluarannya ke negara lain termasuk India, namun Trump berkata, langkah itu tidak memenuhi kehendaknya.
Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump memberitahu sudah lama memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc., Timothy Donald Cook yang beliau menjangkakan iPhone yang akan dijual di AS akan dikilangkan dan dihasilkan di negara itu bukan di India atau di mana-mana tempat lain.
“Jika itu tidak berlaku, tarif sekurang-kurangnya 25 peratus mesti dibayar oleh Apple kepada AS,” tambahnya.
Kenyataan Trump itu mengulangi mesej serupa yang disuarakan semasa lawatannya ke Qatar minggu lalu apabila beliau mendesak Apple untuk membawa pengeluaran iPhone ke AS.
Pesaing utama Apple, Samsung dari Korea Selatan berada dalam situasi yang serupa dengan sebahagian besar pengeluarannya terletak di Vietnam, China dan India.
Apple dan Samsung menyumbang kira-kira 80 peratus daripada jualan telefon pintar di AS.
Pemain lain seperti Google, Xiaomi dan Motorola turut menghasilkan kebanyakan peranti mereka di luar negara.
Penganalisis secara umumnya bersetuju usaha memindahkan pengeluaran iPhone ke AS adalah sesuatu yang tidak realistik dan memerlukan perubahan menyeluruh terhadap model perniagaan Apple, proses yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dilaksanakan.


































