Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga ADUN Kundasang (tiga dari kiri) dan Armizan (tiga dari kanan) pada pelancaran SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 di Kundasang hari ini.
KUNDASANG: Sebanyak 17 jenis barangan akan terlibat dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata, SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 akan dilaksanakan selama sembilan hari bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini, meliputi 12 barangan bagi Sabah dan Sarawak serta 11 barangan bagi Wilayah Persekutuan Labuan.
“Tempoh pelaksanaan ini ditetapkan dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan komuniti peniaga, di mana pengguna dapat menikmati harga berpatutan manakala peniaga tidak tertekan dengan tempoh terlalu panjang,” katanya pada sidang media diadakan di sini hari ini.
Armizan berkata, bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2026 di Sabah, sebanyak 12 barangan disenaraikan berbanding 10 pada tahun lalu, dengan tambahan dua barangan iaitu halia tua import dan ubi kentang dari China.
Antara barangan yang dikawal ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak serta perut), daging kerbau import (India), kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang (China).
Bagi Labuan pula, 11 barangan dikawal termasuk daging babi, daging kerbau import, kepak ayam, cili kering, pelbagai jenis bawang, halia tua import serta ubi kentang (China).
Armizan berkata, bagi pelaksanaan tahun ini, trend harga menunjukkan kestabilan lebih baik apabila di Sabah sebanyak enam barangan mencatat penurunan harga, tiga kekal dan dua barangan baharu diperkenalkan.
Trend sama turut direkodkan di Labuan dengan enam barangan mengalami penurunan harga, dua kekal dan dua barangan baharu diperkenalkan.
Bagi SHMMP Hari Gawai 2026 di Sarawak pula, sebanyak 12 barangan disenaraikan berbanding 11 pada tahun lalu, dengan tambahan daging kerbau import (India).
Barangan terlibat termasuk babi hidup, daging babi (daging dan lemak serta perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import, bawang putih (China), cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan.
“Analisis perbandingan harga bagi Gawai menunjukkan lima barangan mengalami penurunan harga, tiga kekal dan satu barangan baharu diperkenalkan,” katanya.
Beliau menjelaskan, penentuan jenis barangan dan harga maksimum dibuat hasil perbincangan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pemain industri.
Katanya, pelaksanaan skim ini dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], dengan harga maksimum boleh disemak melalui laman web KPDN.
“Pegawai penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan, selain pendekatan pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi harga maksimum dan menggunakan label merah jambu bagi barangan terkawal, dengan tindakan tegas akan diambil terhadap pelanggaran.
Menurutnya, individu yang menjual melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
Bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda harga merah jambu pula, individu boleh didenda sehingga RM10,000 dan syarikat sehingga RM20,000.
Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN akan terus bekerjasama dengan kementerian dan pemain industri bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan, termasuk melalui Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Harga Barang dan Bekalan Antara Kementerian.
Tambah beliau, selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan inisiatif di bawah Payung RAHMAH seperti Program Jualan RAHMAH MADANI dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert bagi membantu menangani kos sara hidup rakyat.
































