Alexyus Matius
KOTA KINABALU: Dakwaan mengenai kewujudan “Kg. Asaon” di Matunggong serta tindakan pihak yang mengaku sebagai Suara Mahasiswa UMS dalam isu tanah Kerajaan disifatkan sebagai mengelirukan kerana kawasan berkenaan bukan sebuah kampung yang pernah diwartakan secara rasmi.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N5 Matunggong, Alexyus Matius berkata, kenyataan tersebut hanya mengeruhkan keadaan dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Beliau secara peribadi menyokong tindakan pihak berkuasa dalam menjalankan penguatkuasaan terhadap pondok-pondok yang dibina secara tidak sah di kawasan berkenaan bagi memastikan undang-undang serta peraturan tanah Kerajaan dipatuhi.
Menurutnya, sebagai anak watan Matunggong, beliau tampil menjelaskan perkara itu berdasarkan fakta sebenar di lapangan dan bukan untuk mempertahankan mana-mana pihak.
Katanya, penjelasan itu penting bagi memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat serta tidak terpengaruh dengan naratif yang mengelirukan.
Beliau memaklumkan kawasan yang didakwa sebagai “Kg. Asaon” sememangnya telah lama diketahui sebagai tanah Kerajaan yang diwartakan bagi tujuan pembangunan Matunggong pada masa hadapan.
Sehubungan itu, katanya, kawasan berkenaan bukan kawasan penempatan kampung yang sah seperti yang digambarkan oleh pihak tertentu.
Menurut Alexyus, penduduk di kampung berhampiran seperti Kg. Tuid, Kg. Hobut dan Kg. Sumangkap amat memahami sejarah serta status sebenar tanah tersebut.
Katanya, mereka sedia maklum bahawa kawasan berkenaan merupakan milik Kerajaan dan bukannya tanah adat persendirian.
Beliau berpandangan isu itu tidak akan menjadi tegang sekiranya tiada campur tangan pihak luar yang tidak memahami latar belakang serta fakta sebenar kawasan tersebut.
Mengulas penglibatan pihak yang dikatakan terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), beliau menegaskan golongan intelektual perlu mendapatkan fakta tepat sebelum membuat sebarang kenyataan.
Katanya, mahasiswa seharusnya merujuk kepada pihak berwajib agar tidak mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.
Beliau turut menegaskan mahasiswa perlu memainkan peranan sebagai penyampai maklumat berasaskan fakta, profesional serta bertanggungjawab.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan agar golongan itu tidak mudah terpengaruh dengan naratif pihak tertentu tanpa memahami sejarah dan kedudukan sebenar sesuatu isu.
Mengulas dakwaan yang cuba mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Julita Majungki, beliau berkata, wakil rakyat kawasan itu sememangnya memahami status serta kedudukan sebenar tanah berkenaan.
Menurutnya, sebagai pemimpin kawasan, ADUN berkenaan lebih arif mengenai perancangan pembangunan serta proses pentadbiran tanah di Matunggong.
Justeru, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat tuduhan atau memainkan sentimen tertentu bagi tujuan politik dan provokasi.
Katanya, tindakan sedemikian boleh mengelirukan masyarakat setempat serta menjejaskan keharmonian kawasan.
Beliau turut berharap semua pihak menghentikan penyebaran fitnah, provokasi dan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang serta tindakan pihak berkuasa demi menjaga kepentingan pembangunan dan kestabilan kawasan Matunggong pada masa hadapan,” katanya.
































