WASHINGTON: Sekumpulan ahli astronomi menemukan bukti baharu mengenai misteri kewujudan planet kesembilan yang mungkin bersembunyi di pinggir sistem suria.
Menurut Utusan Malaysia, pasukan antarabangsa dari Taiwan, Jepun dan Australia menggunakan data selama 40 tahun daripada dua kuar angkasa, dalam usaha menjejaki kewujudan planet misteri itu yang dipercayai mengorbit jauh di pinggir sistem suria.
Planet Sembilan, atau dikenali sebagai Planet X oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), mula didakwa kewujudannya selepas dua ahli astronomi dari Institut Teknologi California mengesan kewujudan daya graviti besar yang terletak jauh di luar Neptun.
Terbaharu, kajian daripada dua satelit angkasa, Infrared Astronomical Satellite (IRAS) dilancarkan pada 1983 dan AKARI dari Jepun yang beroperasi pada 2006 hingga 2007, berjaya mengecilkan senarai 13 objek kepada satu, sebagai berpotensi Planet Sembilan.
Planet itu dianggarkan berada pada jarak antara 74.83 bilion hingga 104.7 bilion kilometer (km) dari matahari, hampir 20 kali lebih jauh daripada jarak Pluto.
Menurut kajian, planet tersebut berkemungkinan besar merupakan gergasi beku seperti Uranus atau Neptun, dan mempunyai jisim tujuh hingga 17 kali ganda daripada Bumi, dengan suhu yang dianggarkan antara -364°F hingga -409°F.
Kajian menjelaskan, dapatan daripada IRAS dan AKARI masih belum mencukupi untuk memetakan orbit penuh planet Sembilan atau mengesahkan kewujudannya.
Sementara itu, NASA dalam kenyataan berkata, jika kewujudan planet tersebut dibuktikan, ia bukan sahaja menambah satu lagi planet dalam senarai, malah menjadikan sistem suria lebih normal.
Jika planet tersebut wujud, ia juga dijangka menjadi penemuan astronomi terbesar selepas Neptun pada abad ke-19, yang mengubah peta sistem suria.


































