Philemon Lajawai
KOTA KINABALU: Sebanyak 2,588 meter persegi kawasan pejabat di Blok A, Menara Kinabalu dilaporkan ditenggelami air susulan kejadian limpahan air dari tangki sistem pencegah kebakaran di aras 11 bangunan itu, semalam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Philemon Lajawai berkata, kejadian yang berlaku pada 30 April 2025 (Rabu) kira-kira jam 12.25 tengah hari itu berpunca daripada kerosakan pada komponen Float Valve tangki simpanan air sistem wet riser di aras berkenaan.
“Pada masa yang sama, pam air sistem bekalan air paip telah mengepam air masuk secara automatik dan berterusan ke dalam tangki tersebut. Kelewatan menutup pam oleh syarikat pengurusan fasiliti, Sinar Uni-Resources Sdn. Bhd., telah menyebabkan air melimpah secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Insiden itu mengakibatkan air membanjiri ruang pejabat di enam aras iaitu Aras 11 (864 meter persegi), Aras 10 (720 mps), Aras 9 (580 mps), Aras 8 (290 mps), Aras 7 (145 mps) termasuk kawasan lif dan tangga kecemasan.
“Dianggarkan lebih 34,000 liter air telah dipam dalam tempoh 45 minit, menyebabkan ruang-ruang pejabat ditakungi air. Komponen rosak telah diganti serta-merta sebaik kejadian dikesan,” jelasnya.
Sebagai langkah keselamatan, lapan unit lif bangunan itu telah dihentikan operasi serta-merta untuk membolehkan pemeriksaan dan penyelenggaraan dijalankan.
Namun begitu, satu lif kakitangan telah disahkan selamat digunakan mulai jam 6.00 petang pada hari kejadian, manakala satu lif kargo dilaporkan tidak terjejas dan kekal beroperasi seperti biasa.
“Kerja-kerja pembersihan telah selesai dilaksanakan sepenuhnya pada jam 11.30 malam, 30 April 2025,” katanya lagi.
Tambah beliau, perkhidmatan jabatan-jabatan kerajaan yang beroperasi di Blok A Menara Kinabalu masih berjalan seperti biasa meskipun terjejas akibat insiden tersebut.
JKR Sabah akan menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan tiada unsur kecuaian serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelak kejadian seumpamanya berulang.


































