Christoper Mandut
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut, hari ini menyeru semua pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus mempertahankan perpaduan dalam gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.
Mengulas kenyataan terbaru bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berhubung kedudukan USNO dalam GRS, Christoper berkata pandangan tersebut wajar dilihat dalam semangat keterbukaan, namun menegaskan bahawa keutamaan kini adalah memperkukuh kekuatan dalaman.
“Ketika kita semakin menghampiri pilihan raya negeri, keutamaan harus diberi kepada kekuatan dan perpaduan, bukan membuka ruang kepada perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa GRS merupakan gabungan unik hasil usaha parti-parti tempatan untuk bersatu selepas melalui fasa politik yang tidak menentu.
“Di bawah kepimpinan kolektif presiden-presiden parti komponen yang diketuai Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, kita telah membina sebuah rumah baharu. Rumah ini mungkin tidak sebesar rumah lama yang pernah kita diami bersama, namun ia dibina atas semangat dan kepercayaan sesama anak Sabah,” katanya.
Christoper turut menekankan bahawa GRS telah membuktikan kepimpinan inklusif apabila beberapa parti yang belum mempunyai kerusi di Dewan Undangan Negeri masih diberi peranan penting dalam pentadbiran dan mewakili Sabah di pelbagai platform.
“Ini mencerminkan keikhlasan serta gaya kepimpinan yang inklusif dalam GRS,” tambah beliau.
Katanya lagi, sebarang suara gusar yang timbul menjelang pilihan raya perlu diteliti dengan bijaksana dan tidak dipengaruhi oleh angin politik yang berubah-ubah.
“Perbezaan pendapat adalah lumrah. Namun ia harus ditangani dengan kebijaksanaan, sebagaimana layaknya seorang negarawan. Kita tidak mahu kegusaran kecil hari ini meretakkan kepercayaan yang telah sekian lama dibina,” katanya.
Beliau turut memetik kenyataan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman, yang pernah menyuarakan pendirian realistik berhubung keperluan memiliki ruang dalam mana-mana gabungan politik.
“Dahulu, kita pernah bersama dalam rumah besar itu. Tetapi hari ini, kita telah membina rumah kecil sendiri. Ia mungkin tidak semewah dahulu, tetapi inilah rumah kita. Kitalah yang harus mempertahankannya,” tegasnya.
Tambah Christoper, masa depan Sabah bergantung kepada sejauh mana pemimpin GRS mampu memelihara perpaduan yang telah dibina, terutama ketika rakyat semakin meletakkan harapan kepada gabungan tersebut.
“Dalam waktu tenang, semua tampak seperti pemimpin. Namun dalam saat genting, barulah kita mengenal siapa yang benar-benar memikul amanah dengan jiwa,” katanya.
Sebagai suara generasi muda dalam GRS, beliau menaruh harapan agar semua tokoh, termasuk Pandikar, akan terus menjadi penyatu rakyat Sabah, bukan sebaliknya.
“Marilah kita kekalkan perpaduan ini. Rumah kecil ini tidak sempurna, tetapi inilah rumah kita,” katanya.


































