Malam ini, Dewan Seri Sulaman Tuaran bakal bergema dengan alunan suara-suara luar biasa apabila Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2025 berlangsung bermula jam 5 petang!
Acara penuh gilang-gemilang ini bukan sekadar pertandingan nyanyian, tetapi simbol semangat kebudayaan Kadazandusun yang terus mekar dalam jiwa rakyat Sabah.
10 finalis terbaik Sugandoi Kaamatan bakal berentap malam ini, membawa harapan dan impian untuk mewakili kawasan Tuaran, Tamparuli dan Kiulu ke peringkat tertinggi – Peringkat Kebangsaan Sugandoi Kaamatan di Hongkod Koisaan, KDCA!
Bukan itu sahaja – Kategori Songkotoun dan Dazanak juga tidak kurang hebatnya! Masing-masing menampilkan 5 finalis yang akan bersaing sengit bagi merebut tiga tempat teratas.
Aksi-aksi memukau dan suara-suara emas dijangka mencuri hati para juri dan penonton.
Lebih mengujakan, artis legenda dan pujaan ramai, Datuk Francis Landong, turut akan menggegarkan pentas dengan persembahan istimewa! Kehadiran beliau pastinya menjadi momen paling dinantikan yang bakal menghidupkan malam Sugandoi dengan penuh emosi dan nostalgia.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB Datuk Jasnih Hj Daya, Pengerusi Innoprise Corporation Sdn Bhd merangkap ADUN N.13 Pantai Dalit, tepat jam 6.30 petang.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bersama keluarga, sahabat dan komuniti setempat.
Penuhkan Dewan Seri Sulaman malam ini dan rasai sendiri kehangatan budaya, muzik dan kebanggaan etnik Sabah yang tidak ternilai!
Jangan lepaskan peluang! Ini malam budaya, malam suara rakyat, dan malam untuk kita semua bangkit sebagai satu komuniti!