SINGAPURA: Seorang pelajar sekolah di Singapura ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai mencederakan guru menggunakan pisau lipat dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu.
Menurut Utusan Malaysia, pengetua sekolah berkenaan, Britta Seet dalam kenyataan berkata, guru terbabit dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan pesakit luar, namun dibenarkan pulang ke rumah.
“Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang pulih. Laporan polis sudah dibuat,” katanya ketika menjawab pertanyaan CNA pada Selasa.
Tambah beliau, pelajar terbabit masih belum kembali ke sekolah dan sedang membantu siasatan pihak berkuasa.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pula memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 12.25 tengah hari waktu tempatan pada Isnin dan seorang individu dihantar ke Hospital Tan Tock Seng.
“Kami kini sedang berhubung dengan pelajar serta ibu bapanya, dan pihak sekolah akan terus memberikan sokongan kepada pelajar serta kakitangan yang terlibat,” ujar Seet lagi.
Kejadian tersebut menggemparkan negara dan pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut berhubung motif dan latar belakang insiden berkenaan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu keselamatan di sekolah Singapura semakin mendapat perhatian umum, khususnya selepas beberapa kes membabitkan pelajar membawa senjata dan bertindak ganas terhadap rakan sebaya atau guru.


































