RANAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tibabar Komprehensif 9 (K9) telah melabuhkan tirai penganjuran Bulan Karnival STEM Generasi Madani peringkat sekolah dengan satu majlis penutupan yang meriah dan penuh inspirasi, semalam.
Majlis yang berlangsung di Perpustakaan (Dewan Mini) sekolah itu menjadi kemuncak pelbagai aktiviti berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang telah dilaksanakan sepanjang bulan April.
Guru Besar SK Tibabar K9, Jasni Halim memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan sebelum dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau (Sektor Perancangan), Junaidi Yunus yang hadir mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Mohd. Kahar.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Maarif Mohamad, Marcel Eging serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Walter Bandung.
Majlis turut menampilkan persembahan istimewa daripada murid-murid berbakat sekolah berkenaan termasuk persembahan unicycle oleh Aidee Luzman BRukimin, nyanyian oleh Avlyna Eva Akim dan persembahan silap mata oleh tiga murid Tahun 5.
Ketiga-tiga murid ini merupakan wakil rasmi negeri Sabah ke peringkat kebangsaan Kids Got Talent Malaysia 2025 yang dijadual berlangsung pada 7 dan 8 Jun ini di KSL Convention Center Klang, Kuala Lumpur.
Penyertaan mereka ke pentas nasional menjadi bukti pencapaian cemerlang warga sekolah dalam bidang kokurikulum dan kesenian.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang bagi enam kategori pertandingan utama iaitu Water Rocket Challenge, Drone Challenge, Robot Battle, Bridge Building Competition, STEM Talent Show dan Innovators of Tomorrow.
Pertandingan ini diadakan di peringkat sekolah sebagai persediaan awal menjelang pertandingan di peringkat PPD Ranau pada Jun 2025, peringkat negeri di Tawau pada Julai dan peringkat kebangsaan di Kelantan pada Ogos 2025.
Sepanjang bulan karnival, pihak sekolah turut menganjurkan program Science & Art Camp: Exploring IT dengan kerjasama pasukan U-Science dan Fakulti Komputeran dan Informatik, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pasukan fasilitator UMS yang diketuai Haji Zawawi Tiyudin sanggup menempuh perjalanan hampir tiga jam termasuk melalui laluan tidak berturap demi memastikan program berjaya dilaksanakan.
Kehadiran mereka telah memberi pendedahan secara langsung kepada murid-murid dalam bidang teknologi dan kesenian digital.
Penyelaras program STEM sekolah, Kelvin Dale Yubidi, yang juga penerima Anugerah Pegawai Teknikal STEM Cemerlang 2024 oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN Sabah), memainkan peranan penting dalam memacu pelaksanaan program ini secara aktif dan inovatif.
Berteraskan slogan sekolah “Strive to be the Superbest!”, penganjuran Bulan Karnival STEM menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi Madani yang berilmu, berdaya saing dan seimbang dari segi pembangunan sahsiah serta akademik.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat, nyanyian lagu sekolah dan sesi bergambar kenangan, menandakan penutupan rasmi program berkenaan.


































