Pelajar memegang bendera Perancis dan China ketika Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot menyampaikan ucapan di Universiti Bahasa dan Budaya Beijing pada 27 Mac lalu.
BEIJING: Dalam persaingan perdagangan yang semakin sengit antara Amerika Syarikat (AS) dan China, ketegangan geopolitik yang tercetus kini tidak hanya terhad kepada sektor ekonomi dan teknologi, malah merebak ke institusi pengajian tinggi seluruh dunia.
Menurut Utusan Malaysia, tindakan mengetatkan visa, retorik anti-China yang semakin meningkat dan ancaman peralihan dasar yang mendadak, mendorong banyak keluarga di negara itu memikirkan semula rancangan pendidikan tinggi mereka.
Jika sebelum ini ramai tertarik kepada institusi ternama di AS dan United Kingdom (UK), kini semakin ramai pelajar mencari alternatif yang dirasakan lebih selamat, stabil dan dekat dengan tanah air.
Lapor CNA, Asia Tenggara, yang dahulu dianggap sebagai pilihan kedua, kini perlahan-lahan muncul sebagai destinasi akademik baharu yang selamat dan menarik.
PENUNTUT CHINA MENURUN
Sepanjang dekad yang lalu, China menghantar lebih ramai pelajarnya ke luar negara berbanding mana-mana negara lain.
Menurut data UNESCO yang dikeluarkan pada 2023, jumlah pelajar China yang menuntut di luar negara mencapai rekod tertinggi iaitu 1,021,303 orang.
Namun, di AS yang sekian lama menjadi destinasi utama, angka itu menyaksikan penurunan mendadak.
Bilangan pelajar warga China di AS menurun sebanyak 100,000 dalam tempoh empat tahun lalu, mewakili penurunan sebanyak 25 peratus.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Presiden AS, Donald Trump membatalkan ratusan visa pelajar antarabangsa, mencetuskan kebimbangan daripada universiti.
Pada 9 April lalu, Kementerian Pendidikan China mengeluarkan nasihat rasmi, menggesa pelajar supaya menilai risiko sebelum membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian ke AS.
Amaran itu dikeluarkan susulan rang undang-undang baharu di Ohio yang mengenakan sekatan terhadap pertukaran pendidikan dan perkongsian akademik antara institusi China serta Amerika.
“Ketegangan geopolitik sememangnya memberi kesan terhadap aliran pelajar antarabangsa.
“AS mengetatkan kawalan ke atas China dalam pelbagai aspek, sekali gus mewujudkan persekitaran pengajian yang lebih bermusuhan,” kata anggota Persatuan Strategi Pembangunan Pendidikan China, Chen Zhiwen.
ASIA TENGGARA JADI TUMPUAN
Pengasas bersama firma perundingan pelajar antarabangsa Sunrise International, David Weeks berkata, Asia Tenggara kini muncul sebagai destinasi tumpuan.
Negara yang paling mendapat faedah termasuk Malaysia, Thailand, Singapura dan Filipina, di mana universiti tempatan mencatatkan peningkatan konsisten dalam pendaftaran pelajar China.
Institusi ternama di Singapura, Jepun dan Hong Kong kekal antara yang paling menarik, sering kali berada sebaris dengan Harvard dan Cambridge dari segi kedudukan global.
Menurut Kementerian Pendidikan Singapura, negara itu menempatkan sekitar 73,200 pelajar antarabangsa pada 2023, dengan separuh daripadanya merangkumi pelajar dari China.
Jepun mencatat peningkatan sebanyak 11 peratus dalam pendaftaran pelajar China dari 2022 hingga 2023, dan membentuk 41 peratus daripada keseluruhan pelajar antarabangsa menjelang 2024.
Institusi ternama di rantau itu seperti Universiti Chulalongkorn di Thailand dan Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, juga mencatat peningkatan pelajar China, menurut pemerhati.
Di Malaysia, pendaftaran pelajar China melonjak lima kali ganda dalam tempoh empat tahun daripada 8,876 pada 2020 kepada hampir 44,000 pada 2024, menurut Education Malaysia Global Services (EMGS).
Di Thailand, pelajar China kini membentuk sebahagian besar daripada pelajar antarabangsa, mengatasi jumlah pelajar dari negara ASEAN lain.
Pendaftaran pelajar China di Thailand mencecah 18,771 pada 2023, peningkatan 21.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh yuran berpatutan serta dasar visa lebih longgar.
DESTINASI PENGAJIAN UTAMA PELAJAR CHINA
AS – 24.7 peratus
Australia – 15 peratus
United Kingdom – 13.8 peratus
Jepun – 10.3 peratus
Kanada – 9.1 peratus
Korea Selatan – 5.4 peratus
Russia – 4.3 peratus
Malaysia – 3.9 peratus
Jerman – 3.5 peratus
Singapura – 3.3 peratus
Perancis – 2.4 peratus
New Zealand – 1.8 peratus
































