Hajiji menggulung perbahasan untuk Jabatan Ketua Menteri di DUN Sabah kelmarin.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menjelaskan bahawa pengangkutan kayu balak menggunakan Kapal Ocean Kaya 2500 yang tular baru-baru ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan aktiviti pembalakan di Sipitang.
Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Datuk Darell Leiking (Moyog) semasa menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin, Hajiji berkata, tiada sebarang operasi pembalakan sedang dijalankan di kawasan Sipitang pada masa ini.
“Kayu-kayu balak yang diangkut oleh kapal Ocean Kaya 2500 bukan berasal dari Sipitang. Sebaliknya, ia merupakan kayu tanaman jenis Eucalyptus Pellita milik syarikat Sabah Softwoods Berhad dari daerah Kalabakan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kayu-kayu tersebut adalah untuk tujuan eksport ke Indonesia, dan segala urusan pengangkutan serta eksport telah mematuhi prosedur yang sah.
“Pengangkutan dan eksport kayu-kayu balak ini telah disahkan melalui prosedur yang betul dan sah dari segi undang-undang,” tegas beliau.
































