BANGKOK: Gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar dan Thailand semalam, kini mengorbankan lebih 150 nyawa dan mencederakan ratusan yang lain, dengan puluhan terperangkap dalam bangunan runtuh.
Menurut Utusan Malaysia, gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter melanda barat laut bandar Sagaing di tengah Myanmar, diikuti gegaran susulan beberapa minit kemudian dengan kekuatan 6.4 skala Richter.
Gegaran tersebut meranapkan bangunan, menyebabkan jambatan runtuh dan jalan raya merekah di seluruh wilayah Myanmar, malah turut memusnahkan sebuah pencakar langit 30 tingkat yang masih dalam pembinaan di Bangkok.
Walaupun kesan penuh bencana itu masih belum diketahui, pemimpin Myanmar mengeluarkan rayuan yang jarang berlaku untuk bantuan antarabangsa.
Ketua junta, Min Aung Hlaing berkata, 144 orang terkorban dengan 732 kecederaan disahkan, tetapi memberi amaran angka itu berkemungkinan meningkat.
Beliau menggesa usaha bantuan besar-besaran selepas bencana itu dan membuka semua saluran untuk bantuan asing.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, Washington sedia menawarkan bantuan.
Sementara itu, lapan kematian turut disahkan di Thailand setakat ini, yang juga menjangkakan peningkatan.
Gempa itu turut dirasai di seluruh rantau, dengan China, Kemboja, Bangladesh dan India melaporkan gegaran.
India, Perancis dan Kesatuan Eropah (EU) menawarkan bantuan, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang bersiap sedia untuk menghantar bekalan kecemasan bagi merawat kecederaan trauma.
































