OSLO: Seorang lelaki dari Norway mengemukakan aduan rasmi selepas terkejut melihat kecerdasan buatan (AI) ChatGPT memberi maklumat palsu mendakwa beliau membunuh dua anaknya dan dihukum penjara selama 21 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Arve Hjalmar Holmen telah menghubungi Pihak Berkuasa Perlindungan Data Norway dan menuntut supaya pembangun ChatGPT, OpenAI, dikenakan denda atas kesilapan tersebut.
Holmen menyifatkan kesalahan ini sebagai amat serius dan berpotensi mencemarkan nama baiknya.
“Apa yang paling menakutkan saya ialah kemungkinan seseorang membaca maklumat ini dan mempercayainya sebagai benar,” katanya.
Holmen membuat pencarian di ChatGPT menggunakan pertanyaan mengenai profil dirinya dan terkejut apabila chatbot itu memberikan jawapan palsu.
“Arve Hjalmar Holmen ialah seorang individu dari Norway yang mendapat perhatian susulan satu kejadian tragis.
“Beliau adalah bapa kepada dua kanak-kanak lelaki berusia 7 dan 10 tahun yang ditemui mati di sebuah kolam berhampiran rumah mereka di Trondheim, Norway, pada Disember 2020,” demikian antara jawapan yang diberikan ChatGPT.
Kumpulan hak digital Noyb, yang mengemukakan aduan bagi pihak Holmen, mendakwa jawapan yang diberikan oleh ChatGPT itu bersifat fitnah dan melanggar undang-undang perlindungan data Eropah berkaitan ketepatan maklumat peribadi.
Dalam aduannya, Noyb menegaskan Holmen tidak pernah dituduh atau disabitkan dengan sebarang jenayah dan merupakan seorang rakyat yang berdisiplin.
“Anda tidak boleh sekadar menyebarkan maklumat palsu dan kemudian menambah penafian kecil mengatakan bahawa apa yang dinyatakan mungkin tidak benar,” kata peguam Noyb, Joakim Söderberg.
Fenomena halusinasi ini merupakan cabaran utama dalam pembangunan AI generatif di mana ia menyebabkan chatbot menyampaikan maklumat palsu sebagai fakta.
Tahun ini, Apple terpaksa menggantung alat ringkasan berita Apple Intelligence di United Kingdom (UK) selepas AI itu tersilap mencipta tajuk berita palsu dan menyampaikannya sebagai laporan sahih.
Google Gemini juga pernah terperangkap dalam halusinasi AI apabila ia mencadangkan penggunaan gam untuk melekatkan keju pada piza dan mendakwa pakar geologi mengesyorkan manusia makan sebiji batu setiap hari.


































