WASHINGTON: Tesla menarik balik 376,000 kenderaan elektriknya di Amerika Syarikat (AS) kerana kegagalan ciri bantuan stereng kuasa yang boleh menyebabkan kenderaan itu lebih sukar dipandu terutamanya pada kelajuan rendah dan meningkatkan risiko kemalangan.
Menurut Utusan Malaysia, Tesla berkata, penarikan balik itu bukan sebagai tindak balas kepada siasatan Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) terhadap dakwaan kehilangan kawalan stereng, yang masih dijalankan.
Syarikat itu mengeluarkan kemas kini perisian pada bulan Oktober untuk menangani isu itu tetapi tidak memfailkan laporan penarikan semula sehingga minggu ini.
Tindakan terbaharu ini menandakan penarikan balik besar kedua pembuat kereta itu pada tahun 2025.
Pada bulan Januari, Tesla menarik balik kira-kira 239,000 kenderaan kerana kamera pandangan belakang yang tidak berfungsi.
Penarikan balik itu turut menyebabkan saham Tesla jatuh tiga peratus dalam dagangan pada tengah hari.
Saham Tesla telah merosot sekitar 10 peratus pada 2025 selepas 2024 yang kukuh.
NHTSA sebelum ini melancarkan siasatan selama lebih setahun selepas beberapa pemilik Tesla melaporkan kegagalan stereng.
“Ada yang tidak dapat memusingkan tayar manakala yang lain menyebut tentang kesukaran melakukannya. Lebih 50 kenderaan didakwa ditarik kerana isu itu,” kata NHTSA pada 2024.
Reuters melaporkan pada akhir 2023 bahawa berpuluh-puluh ribu pemilik mengalami kegagalan sistem suspensi atau bahagian stereng sejak 2016, memetik dokumen Tesla dan temu bual dengan pelanggan dan bekas pekerja.
Dalam pemfailan dengan NHTSA, Tesla berkata, beberapa sedan Model 3 2023 dan model Y crossover yang menjalankan perisian lama boleh menghadapi kerosakan voltan lampau, yang berpotensi memberi tekanan berlebihan komponen pemacu motor pada papan litar bercetak.
Tesla berkata, jika keadaan tekanan berlebihan ini berlaku semasa kenderaan sedang bergerak, stereng kekal tidak terjejas dan amaran visual dicetuskan.
Tetapi apabila kenderaan berhenti, bantuan stereng mungkin gagal dan kekal dilumpuhkan apabila ia bergerak semula.
Sehingga 10 Januari, Tesla telah mengenal pasti 3,012 tuntutan waranti dan 570 laporan lapangan yang mungkin berkaitan dengan keadaan itu tetapi berkata ia tidak mempunyai laporan tentang sebarang insiden kemalangan yang berkaitan dengannya.


































