PENAMPANG: Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syarikat Kurnia Usaha menandatangani dokumen penyerahan projek dan sesi penyerahan kunci pejabat, pada Jumaat.
Majlis tersebut adalah susulan perpindahan JAPEN Sabah ke Aras 3 International Technology And Commercial Centre (ITCC) melibatkan Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM), Bahagian Keurusetiaan (KU), Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan (KPK), Bahagian Media Siber (BMS), Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (BMKK), Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka (KVS) serta Pejabat Penerangan Daerah Penampang.
Pejabat sewaan ini akan menjadi sebahagian daripada ruang perkhidmatan JaPen Sabah disertai kemudahan tambahan seperti ruang simpanan rekod fail, bilik peralatan sistem audio (PA system), bilik mesyuarat, bilik utiliti, bilik audio, bilik studio foto, serta stor penyimpanan.
Terdahulu, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor menyampaikan penerangan ringkas kepada Pengarah Kanan Pengurusan, JaPen Malaysia, Naim Ahmad Tajuddin ketika mengadakan lawatan ke setiap ruang pejabat Aras 3.
Untuk rekod, Pejabat JaPen Sabah melalui beberapa siri perpindahan sejak tahun 2022 berikutan kejadian runtuhan siling di Wisma Dang Bandang pada Januari 2022 yang menyebabkan ketidakselesaan operasi jabatan.
Hadir sama, Jurutera JKR, Suraya Jamaludin; Pengurus Projek Syarikat Kurnia Usaha, Azhar Madisha; Jurutera Daerah JKR, Rayner Joseph; serta Ketua-Ketua Penolong Pengarah JaPen Sabah.
































