Gambar yang tular menunjukkan suspek ketika ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian mencabul seorang kanak-kanak perempuan di dalam sebuah masjid di Batang Kali, Selangor, semalam.
PETALING JAYA: Semakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati lelaki berusia 19 tahun ditahan berhubung kes cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali dekat sini memiliki kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, hasil pemeriksaan dan semakan dijalankan mendapati individu terbabit memang mempunyai kad OKU sejak kecil lagi.
“Hasil pemeriksaan kita dapati dia (suspek) memang mempunyai kad OKU Learning Disability (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis menunggu pengesahan JKM berhubung kad orang kurang upaya (OKU) milik lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, memang ada ditemui kad OKU itu namun ia perlu pengesahan daripada JKM terlebih dahulu.
Lelaki berusia 19 tahun itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, di sini, semalam.
Lelaki itu ditahan reman sehingga 28 Februari ini mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Sebelum itu, Polis Hulu Selangor menerima laporan pada jam 8.19 pagi semalam berhubung kejadian yang tular di media sosial itu, sebelum suspek ditahan pada hari yang sama di sekitar Batang Kali.
Ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Dalam kejadian itu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.
Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul.
Mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.


































