Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Sebanyak RM28,256,670,826 nilai aset dilucut hak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tempoh lima tahun bermula 2020 hingga 2024 yang dipercayai membabitkan aktiviti rasuah, penyelewengan dan pengubahan wang haram.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan statistik SPRM, jumlah aset dilucut hak membabitkan Akta SPRM, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan lain-lain, mencatatkan angka tertinggi pada 2020 iaitu membabitkan RM14,369,093,679.
Bagaimanapun jumlah itu menurun pada tahun berikutnya kepada RM5,142,549,240 (2021); RM493,431,933 (2022) dan tetapi melonjak kepada RM8,111,517,095 (2023) serta RM140,078,879 (2024).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah aset dilucut hak itu merupakan satu usaha pemulihan aset negara yang dilaksanakan dalam membanteras jenayah rasuah.
Katanya, ia juga adalah bagi memastikan aset yang diperoleh secara tidak sah itu dikembalikan kepada negara.
“Dalam tempoh lima tahun yang lalu, SPRM telah berjaya melaksanakan pelbagai Tindakan perundangan, termasuk pelucuthakan aset hasil daripada aktiviti rasuah dan penyelewengan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan V. N. Sivakumar (PH – Batu Gajah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan keberkesanan dasar antirasuah dalam perkhidmatan awam, statistik terkini siasatan dan pemulihan aset oleh SPRM.
Azalina berkata, berdasarkan statistik SPRM dari tahun 2020 hingga 2024, sebanyak 11,139 maklumat berunsur rasuah melibatkan penjawat awam diterima.
“Ia membawa kepada pembukaan 725 kertas risikan, 3,765 kertas siasatan awam dan 2,265 kertas siasatan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,208 tangkapan dibuat dengan 1,070 telah dituduh di mahkamah dan 493 daripadanya disabitkan kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina turut memaklumkan bahawa lima daripada 60 substrategi yang terkandung dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 telah berjaya dicapai sejak dilancarkan pada Mei tahun lalu.
“NACS yang diluncurkan oleh Perdana Menteri pada 7 Mei 2024 memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat dengan menekankan lima strategi utama iaitu Pendidikan, Kebertanggungjawaban Awam, Suara Rakyat, Penguatkuasaan dan Insentif yang didukung dengan 60 substrategi secara keseluruhannya.
“Implementasi inisiatif atau strategi yang digariskan dalam NACS merupakan ukuran keseriusan semua pihak untuk memastikan elemen tatakelola, integriti, dan antirasuah sepenuhnya ke dalam agenda utama negara.
“Ia secara langsung mengurangi penyalahgunaan kekuasaan, menentang rasuah, campur tangan politik, menghentikan kronisme dan nepotisme, serta kelemahan tatakelola dalam pemerintahan serta meningkatkan efisiensi, akauntabiliti dan ketelusan kerajaan,” katanya.


































