MUNICH: Sekurang-kurangnya 30 orang cedera, termasuk kanak-kanak dalam insiden serangan terhadap demonstrasi kesatuan sekerja di Munich, Jerman dipercayai dilakukan oleh seorang pendatang yang gagal dalam permohonan suakanya.
Menurut Utusan Malaysia, terdapat dua mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang bertarung nyawa di hospital.
Menurut polis, pendatang tersebut bertindak memandu kenderaan ke arah perhimpunan tersebut sebelum merempuh orang ramai yang sedang melakukan demonstrasi.
Polis mengesahkan kejadian itu merupakan serangan yang disengajakan dan pasukan anti-keganasan kini menjalankan siasatan terperinci.
Suspek, seorang lelaki berusia 24 tahun berasal dari Afghanistan, berjaya ditahan selepas polis melepaskan tembakan ke arah kenderaannya.
Laporan media tempatan, termasuk Zeit Online dan Der Spiegel menyebut suspek yang dikenali sebagai Farhad Noori, mempunyai petunjuk berkaitan ekstremisme dan dipercayai telah memuat naik hantaran berunsur keganasan di media sosial sebelum serangan berlaku.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Joachim Herrmann mengesahkan, permohonan suaka suspek telah ditolak, namun pihak berkuasa tidak dapat mengusirnya keluar dari negara itu.
Tambah beliau, suspek sebelum ini pernah terlibat dalam kesalahan jenayah kecil seperti mencuri dan penyalahgunaan dadah.
Menurut saksi, kenderaan suspek dilihat memecut laju dan memotong sebuah kenderaan polis yang mengawal perhimpunan sebelum merempuh orang ramai dari arah belakang.
Pusat Peperangan Ekstremisme dan Keganasan Bavaria kini mengetuai siasatan bagi mengenal pasti motif serangan itu.
Kejadian ini berlaku hanya beberapa jam sebelum Konferens Keselamatan Munich yang dijadualkan bermula hari ini.
Antara pemimpin dunia yang dijangka tiba dalam masa terdekat termasuk Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Sehingga kini, pihak berkuasa masih mengawal ketat lokasi kejadian, sementara siasatan diteruskan bagi memastikan keselamatan menjelang persidangan antarabangsa itu.