PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil seramai 18 individu bagi membantu siasatan Op Sky.
Menurut Utusan Malaysia, ia susulan sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua individu itu terdiri daripada pegawai bank, bekas pekerja syarikat terlibat dan individu daripada sebuah pertubuhan.
“Kesemua mereka telah dipanggil secara berperingkat pada minggu ini dan minggu depan. Kami juga sedang bekerjasama dengan pihak bank bagi kes ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pihak SPRM setakat ini telah menerima sebahagian dokumen berkaitan daripada bank dan sedang menunggu sebahagian lagi dokumen bagi membantu siasatan.
9 Februari lalu, media melaporkan SPRM mengambil keterangan seramai 39 saksi bagi membantu siasatan.
Ia termasuk tiga selebriti dilantik sebagai duta dan ikon syarikat perunding kewangan iaitu penyanyi, Ziana Zain, pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha pada 6 Februari lalu.
Sebanyak 4,000 dokumen turut dirampas bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.
Setakat ini, 27 individu direman termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam dan semua mereka dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi berkenaan juga, 98 akaun bank dibekukan dengan nilai lebih RM17 juta dan terbaru tiga selebriti yang menjadi duta syarikat turut dirakam keterangan.