Joniston melancarkan pakej Longest River Expedition 40KM di Tapak Perkhemahan Batu Payung di Kampung Kepuakan.
RANAU: Pelancongan berasaskan komuniti semakin mendapat perhatian di kawasan pedalaman Sabah, dengan Ulu Sugut menjadi yang terbaharu meneroka inisiatif ini.
Enam kampung di sepanjang Sungai Sugut telah memperkenalkan pakej pelancongan yang direka untuk mempamerkan tarikan semula jadi di kawasan masing-masing sambil memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Hari ini, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai melancarkan pakej Longest River Expedition 40KM di Tapak Perkhemahan Batu Payung di Kampung Kepuakan.
“Inisiatif ini bukan sekadar aktiviti rekreasi. Ia melambangkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan komuniti yang terlibat.
“Pelancongan berasaskan komuniti semakin berkembang, termasuk di kawasan paling terpencil, membuktikan bahawa destinasi luar bandar juga boleh maju dengan sokongan dan pendedahan yang betul,” katanya.
Laluan ekspedisi ini merangkumi beberapa lokasi pelancongan utama seperti Kampung Perancangan (titik permulaan untuk aktiviti berakit air yang dikendalikan oleh Borneo Strider), Tapak Perkhemahan Batu Payung di Kampung Kepuakan, Kanaan Santai View di Kampung Malinsau, Notukad River View Cabin dan Tinuturu Kraft Sabah di Kampung Wayan, Puru Linosok Tinagas di Kampung Sinurai serta Thinkoyodon Tagal di Kampung Malinsau Darat.
Setiap kampung menyumbang pengalaman pelancongan unik untuk membentuk pakej yang pelbagai dan menarik.
Daripada penyedia penginapan dan persembahan kebudayaan kepada usahawan kraftangan, inisiatif ini memberi peluang kepada komuniti setempat untuk lebih dikenali pelancong serta merancakkan aktiviti ekonomi di kampung-kampung terpencil ini.
“Inilah contoh sebenar pelancongan berasaskan komuniti, di mana pengusaha tidak beroperasi secara bersendirian tetapi saling menyokong antara satu sama lain sebagai usaha kolektif untuk memperkukuh pelancongan luar bandar.
“Malah, dalam program ini, penganjur turut melibatkan pempengaruh tempatan dari Ulu Sugut. Ini adalah pendekatan yang baik kerana mereka boleh menjadi duta kepada komuniti mereka serta memperkenalkan daya tarikan kawasan ini dengan lebih berkesan,” kata Joniston.
Sebagai contoh, Tapak Perkhemahan Batu Payung terletak empat jam perjalanan dari Kota Kinabalu, termasuk satu setengah jam perjalanan melalui jalan berbatu.
Pelawat yang menyertai pakej ekspedisi sungai terpanjang ini biasanya menghabiskan tiga hingga empat hari meneroka kawasan tersebut serta menyertai pelbagai aktiviti.
Mengenai ketibaan pelancong di destinasi luar bandar, Joniston berkata, Lembaga Pelancongan Sabah sedang memberi keutamaan kepada pengumpulan data pelancongan luar bandar untuk mengukur impak pelawat.
“Kita perlu memahami kesan sebenar pelancongan luar bandar. Sebab itu, kita sedang melaksanakan sistem pengumpulan data dengan Kiulu sebagai projek perintis.
“Mempunyai data yang tepat membolehkan kita membuat keputusan yang lebih baik dan memastikan pelancongan luar bandar terus memberi manfaat kepada komuniti,” katanya, sambil menambah bahawa Ulu Sugut akan dimasukkan dalam usaha ini pada masa akan datang.