Hajiji (tiga dari kiri) bersama Masiung (dua dari kiri) dan tetamu lain menuai padi sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan Tongod.
TONGOD: Projek Borneo Cement Sabah Sdn. Bhd. (BCS) membabitkan pembinaan kilang klinker dan simen di Kampung Kawayoi di sini akhirnya mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Pengerusi Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah memaklumkan kelulusan EIA itu diperoleh pada 10 April lalu dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
“Kami menerima surat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya berhubung kelulusan itu. Namun masih terdapat beberapa proses yang perlu dilalui.
“Justeru, kerja pembinaan jalan raya, elektrik, tali air dan bangunan kilang akan dilaksanakan serentak bermula awal September depan,” katanya ketika ditemui media selepas Pesta Kaamatan peringkat daerah Tongod, hari ini.
Perayaan Pesta Kaamatan Tongod dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang turut merasmikan bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod.
Masiung berkata, cadangan pembinaan jalan raya dan bekalan elektrik telahpun mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau yang juga Pengerusi BCS berkata, rangkaian jalan raya berturap akan dibina dari Kampung Matiku, Nabawan ke Kampung Inarad, Tongod hingga ke tapak kilang sejauh 26 kilometer.
Sementara itu, BCS akan mendirikan menara pylon bagi bekalan elektrik 40MW sejauh 36 kilometer dari PMU Nabawan ke tapak kilang di Kampung Kawayoi.
Menurut ADUN Kuamut itu, bekalan elektrik tersebut turut akan disalurkan ke perkampungan dan ladang berdekatan yang sebelum ini tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Kita juga akan membina loji bekalan air sendiri dari sungai berdekatan selain saluran telekomunikasi untuk kawasan kilang dan kuarters pekerja.
“Semua pembinaan infrastruktur ini akan berjalan serentak bermula awal September tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2028,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Masiung berkata, sebaik sahaja beroperasi, kilang itu mampu mengeluarkan 1.78 juta tan metrik setahun serta memberi jaminan harga simen akan lebih rendah berbanding harga semasa.
Pada peringkat awal, katanya, kilang yang menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan itu akan membekalkan simen bagi pasaran domestik iaitu Sabah dan Labuan.






























