Masidi bersama kakitangan UPPM Karanaan yang menerima watikah lantikan.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peranan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) amat penting sebagai penghubung antara Kerajaan dan masyarakat dalam memastikan setiap dasar serta program pembangunan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengingatkan kakitangan yang dilantik agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
“Kakitangan yang dilantik perlu memastikan segala dasar serta inisiatif Kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat pada sesi penyerahan watikah jawatan UPPM Karanaan Ranau di pejabatnya di Menara Kinabalu hari ini.
Antara pelantikan yang disampaikan ialah Pemimpin Kemajuan Masyarakat (CDO), Mohd. Syukri Saridih dan Penyelia Kemajuan Masyarakat, Georgie Tham Soon Kong.
Jawatan Pemaju Mukim pula disandang oleh Mohd. Radzi Shah Junaidi, Adlyzan Jasirin, Jardern J. Saliun, Jorius Aban, Jasni Harun dan Rudolf Bidi.
Bagi Pemaju Masyarakat, ia dijawat oleh Sitimeh Jimin, Nurul Syakirah Shahira dan Mohd. Amirul Junaidi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karanaan, Suhaimi Manjun.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Karanaan turut menasihatkan semua kakitangan agar mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam melaksanakan tugas demi memastikan pembangunan di kawasan daerah khususnya kawasan DUN berkenaan dapat terus diperkasakan.
Beliau turut mengingatkan kakitangan UPPM agar sentiasa menepati masa dan melaksanakan tugas dengan penuh disiplin bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan kerja sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan menyeru semua pihak agar memainkan peranan masing-masing bagi memastikan setiap usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.






























