PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapat artis yang dilantik menjadi ikon dan duta rasmi menerima bayaran kira-kira RM150,000 hingga RM400,000 sebagai duta untuk mempromosikan syarikat perunding kewangan dipercayai terlibat dengan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa selebriti atau artis tersebut dilantik sebagai ikon atau duta rasmi untuk tempoh satu hingga dua tahun.
Katanya, susulan itu, pihak SPRM dijangka memanggil selebriti dan artis bagi membantu siasatan, minggu depan.
“Setakat ini mereka belum lagi dipanggil namun ada beberapa orang (artis) yang akan kita panggil bagi membantu siasatan.
“Daripada keterangan dan semakan kewangan yang diperoleh, selebriti terbabit ada yang menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada 27 Januari lalu, media melaporkan syarikat perunding kewangan yang terbabit sindiket rasuah dan pengubahan wang haram turut dikesan menggunakan artis dan selebriti sebagai ikon dan duta rasmi untuk mempromosikan syarikat.
Azam dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati syarikat ini sememangnya menjadikan individu popular untuk menarik perhatian ramai.
Selain itu, katanya, mereka juga mengiklankan tawaran syarikat melalui papan iklan, Facebook, TikTok dan Instagram serta menggunakan kaedah soal selidik.
Beliau juga memaklumkan kumpulan itu turut menjelajah ke sekolah, hospital dan klinik, bertujuan untuk memancing individu dalam kalangan guru sekolah dan kakitangan awam lain.
Terdahulu, SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan, susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.
Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, masing-masing seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.


































