SHAH ALAM: Satu sindiket pengeluaran wang tunai hasil aktiviti penipuan menerusi kad bank milik ‘keldai’ akaun tumpas selepas digempur polis di sekitar Lembah Klang, 26 Januari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, siri serbuan dilakukan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu membawa kepada penahanan enam individu termasuk dua wanita berusia 30 hingga 40-an.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati semua suspek terlibat mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) di bank.
Kata beliau, pergerakan kumpulan itu akan diberikan menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp dan Telegram.
“Suspek akan menerima kad ATM daripada ‘runner’ sindiket dan mengeluarkan wang tunai di mesin ATM di sekitar Lembah Klang.
“Kad itu merupakan akaun milik ‘keldai’ dan ahli sindiket dikehendaki mengeluarkan wang sehingga RM200,000 setiap hari atas pelbagai tujuan termasuk pembelian mata wang digital,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut Hussien, semakan mendapati suspek terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang warga Vietnam.
“Polis turut merampas 10 telefon bimbit, wang tunai RM200,000 dan 122 kad ATM dipercayai digunakan sindiket atas pelbagai kes penipuan. Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah beliau, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran sindiket untuk menyewa akaun bank dan menyerahkan kad ATM.
“Saya mahu menegaskan bahawa individu yang menjadi keldai akaun seumpama itu turut boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jika didapati bersalah, ia memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun selain denda maksimum RM100,000,” katanya.
































