Jamawi (tengah), Riduan (dua dari kanan) serta tetamu jemputan menyempurnakan upacara memotong padi dalam Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong.
TENOM: Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan budaya, tetapi menjadi platform penting dalam menyatukan rakyat pelbagai kaum serta memperkukuh keharmonian masyarakat di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tema sambutan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonisan”, amat bertepatan dalam usaha membina masyarakat yang lebih bersatu, harmoni dan saling menghormati.
Beliau berkata, Pesta Kaamatan juga mempunyai kaitan rapat dengan pengeluaran padi dan kehidupan masyarakat luar bandar yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber ekonomi.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua pihak sempena Pesta Kaamatan agar bersama-sama memikul tanggungjawab membangunkan industri padi di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Kemuncak Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong Tahun 2026 di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, hari ini.
Jamawi berkata, lebih RM33.4 juta akan dibelanjakan di Tenom dan Kemabong menerusi pelbagai program pertanian, termasuk meningkatkan pendidikan dan latihan petani serta memperkasa aktiviti pertanian di kawasan Lagud Seberang.
Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memperuntukkan RM17 juta bagi menaik taraf sistem pengairan sawah padi di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya turut memperkenalkan inisiatif Kebun Dapur bagi menggalakkan masyarakat kembali bercucuk tanam dan menjalankan penternakan kecil-kecilan di sekitar rumah.
Menurutnya, inisiatif itu melibatkan penanaman sayur-sayuran serta penternakan ayam, itik, puyuh dan ikan secara kecil-kecilan sebagai usaha memperkukuh sekuriti makanan isi rumah.
Katanya, sambutan penduduk Tenom terhadap program berkenaan amat menggalakkan apabila bekalan ayam, itik, puyuh dan ikan yang dijual pada harga minimum habis dijual lebih awal daripada jangkaan.
“Sepatutnya program ini berlangsung selama tiga hari, namun malam tadi semua bekalan habis dijual dan hari ini kita perlu menambah bekalan bagi memenuhi permintaan penduduk Tenom.
“Insya-Allah, kita akan mengaktifkan semua pusat pengumpulan di setiap parlimen sekiranya inisiatif Kebun Dapur ini terus mendapat sambutan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana di bawah pimpinan Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew, atas kejayaan menganjurkan sambutan berkenaan yang berlangsung sejak 6 Mei lalu hingga kemuncaknya hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin yang juga Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO); Timbalan Setiausaha Tetap (Khidmat Pengurusan) Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Maria David Edick, yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian; Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Datuk Jifrin Mohamad; Pegawai Daerah Tenom merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong, Alexander Liew; Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Zakaria Jamal; Pengerusi KDCA Tenom-Kemabong merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Stanis Buandi; Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Dr Zulasri Pitting; Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Marcellus Joanes; serta Ketua Daerah, OKK Tusib Tulas.






























