Tangkap layar video menunjukkan cahaya misteri yang dirakam berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK) di New York.
NEW YORK: Penduduk di New York dikejutkan dengan kemunculan dua cahaya misteri berbentuk bulat di ruang udara bandar itu baru-baru ini hingga mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk kemungkinan ia adalah objek terbang tidak dikenali (UFO).
Menurut Utusan Malaysia, fenomena itu dirakam oleh seorang penumpang pesawat yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK) pada malam Rabu lalu.
Video yang dirakam menunjukkan dua cahaya berwarna kemerahan berada dalam keadaan pegun di langit malam yang cerah, berhampiran lapangan terbang yang menyaksikan purata 531 penerbangan sehari.
Setakat ini, pihak pengurusan Lapangan Terbang JFK belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung sumber cahaya tersebut.
Walaupun ada yang menganggap ia fenomena biasa bagi sebuah bandar yang dihuni lebih lapan juta penduduk, sesetengah pemerhati yang meminati isu angkasa lepas mendakwa ia mungkin UFO.
Rakaman video itu dimuat naik ke platform X oleh seorang pengguna yang mempersoalkan sama ada cahaya tersebut adalah sesuatu yang berasal dari dunia lain.
“Dua cahaya merah kelihatan semasa penerbangan ke JFK, menghadap New Jersey pada pukul 9.30 malam,” menurut keterangan video tersebut.
Walaupun punca sebenar cahaya itu masih belum dikenal pasti, kejadian tersebut mengundang pelbagai teori.
Sesetengah pihak percaya ia mungkin dron, memandangkan kehadiran peranti itu semakin menimbulkan kebimbangan di Amerika Syarikat (AS).
Baru-baru ini, beberapa dron bersaiz kereta dikesan di sekitar pangkalan tentera di AS, mencetuskan persoalan sama ada ia milik China atau sebahagian daripada latihan ketenteraan rahsia.


































