Nazifuddin Najib
PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan majlis perasmian pembukaan Sukan SEA 2027 bakal dianjurkan di Sarawak manakala penutupnya di Kuala Lumpur.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib berkata, sebahagian besar penganjuran sukan temasya dwi tahunan itu akan diadakan di Sarawak dengan ia dilakukan secara berpusat.
“Kalau pembukaan di Sarawak, kita akan minta penutup di Kuala Lumpur. Kita pun belum ada perbincangan secara terperinci dan mungkin tahun hadapan sudah ada pelantikan ketua MASOC (Jawatankuasa Pengelola Malaysia) boleh ada maklumat yang lebih lanjut.
“Mereka mahukan majlis pembukaan di Sarawak. Secara lisannya sudah maklumkan dan ada beberapa sukan juga mereka nak diadakan di sana tetapi kami belum boleh kongsikannya lagi.
“Kita nak semua lokasi di satu tempat di Sarawak. Kita tak nak macam ada beberapa lokasi kerana mungkin susah untuk negara lain. Jadi apa yang Kuching boleh anjur, mungkin kita akan utamakanlah,” kata Nazifuddin.
Selain Sarawak dan Kuala Lumpur, Johor turut menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 apabila sukan bola sepak akan diadakan di negeri tersebut serta Pulau Pinang.
“Pulau Pinang dah sahkan untuk menganjurkan beberapa sukan seperti tenpin boling dan sukan dalam dewan. Macam beberapa sukan kita tahu pelayaran dan berbasikal trek boleh dianjurkan di venue yang terhad jadi kita akan lihat semula,” katanya.
Dalam pada itu, Nazifuddin turut memaklumkan pemilihan sukan pada Sukan SEA 2027 sudah dikenal namun ia akan dibuat selepas mengambil kira berdasarkan kertas kerja yang dikemukakan oleh persatuan sukan.
“Untuk pertambahan acara, kita minta semua persatuan sukan untuk mengemukakan kertas kerja untuk perancangan mereka terhadap Sukan SEA Thailand dan Sukan SEA Malaysia. Jadi, baru kita boleh buat keputusan untuk menganjurkan sukan itu ada tidak,” katanya.


































