SYDNEY: Parlimen Australia meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial, menjadikannya antara peraturan paling ketat di dunia yang menyasarkan platform tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, undang-undang, yang diluluskan oleh Senat pada Khamis, mewajibkan platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok untuk menghalang pengguna bawah 16 tahun daripada mempunyai akaun.
Kegagalan mematuhi undang-undang itu boleh mengakibatkan denda sehingga AUS$50 juta (RM144 juta).
KURANGKAN KEMUDARATAN
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyokong kuat undang-undang itu dan menggesa ibu bapa untuk turut memberikan sokongan sama.
Sebelum undian di Parlimen, Albanese berkata, media sosial adalah platform yang menyumbang kepada tekanan rakan sebaya, pemacu kebimbangan, alat penipuan dan senjata paling teruk kepada pemangsa dalam talian.
Beliau mahu golongan muda Australia jauh daripada telefon pintar dan turun ke padang bola sepak, kriket, gelanggang tenis, bola jaring serta kolam renang.
Tegasnya, undang-undang bersejarah yang melarang golongan bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial akan mengurangkan kemudaratan kepada kanak-kanak.
Menurut Albanese, pihak kerajaan tidak menjangka undang-undang baharu itu akan dilaksanakan dengan sempurna, sama seperti larangan alkohol untuk golongan bawah 16 tahun yang kadang kala boleh dielakkan.
“Tetapi, kami percaya ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Canberra.
Albanese menegaskan, platform itu kini mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan.
RANGKAIAN SOKONGAN
Walaupun penyokong privasi dan beberapa kumpulan hak asasi kanak-kanak menentang rang undang-undang itu, sebanyak 77 peratus orang ramai menyokong larangan tersebut, menurut tinjauan terbaharu.
Peguam antibuli Australia, Ali Halkic, yang anak lelakinya berusia 17 tahun membunuh diri pada 2009 akibat dibuli di media sosial, memuji undang-undang itu dan menganggap mengembalikan kawalan kepada ibu bapa adalah ‘titik permulaan’.
“Bagi mereka yang berumur 10 hingga 15 tahun, (larangan) akan sukar untuk dikawal, tetapi generasi seterusnya yang sedang membesar, berusia tujuh, lapan atau sembilan tahun, jika mereka tidak tahu apa itu, mengapa ia penting?,” katanya kepada Reuters.
Sementara itu, kumpulan advokasi dan ahli akademik memberi amaran larangan tersebut boleh menghalang golongan muda yang terdedah, termasuk komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) serta remaja imigran, daripada mencari rangkaian sokongan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Australian berkata, undang-undang itu juga mungkin mengganggu hak asasi manusia golongan muda dengan menyekat keupayaan mereka mengambil bahagian dalam masyarakat.
Bagi penyokong privasi, kebimbangan utama terhadap undang-undang itu adalah potensi pengumpulan data peribadi yang lebih tinggi.
Sebelum undian, Senator Parti Hijau, Sarah Hanson-Young menyifatkan undang-undang itu adalah sebagai ‘golongan boomer cuba memberitahu golongan muda cara internet sepatutnya berfungsi untuk membuat diri mereka rasa lebih baik’.
Undang-undang semasa tidak memberikan butiran tentang bagaimana larangan itu akan dikuatkuasakan.
Namun, ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum pengawal selia menentukan perincian untuk larangan tersebut berkuat kuasa.
Beberapa syarikat, termasuk WhatsApp dan YouTube, kemungkinan besar akan diberikan pengecualian kerana remaja mungkin memerlukan platform tersebut untuk bekerja atau riadah.