Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menggunakan data Locked Figure (LF) dan data Dinamik dalam pengurusan pembasmian miskin tegar di Sabah.
Penbantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, data Locked Figure (LF) adalah data miskin tegar yang telah dikunci pada Januari 2023 oleh Kerajaan Persekutuan bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa Satu Tahun 2024.
Manakala data Dinamik adalah data yang sentiasa berubah mengikut masa dalam pangkalan data e-Kasih.
Beliau berkata, setakat September 2024, Sabah merekodkan seramai 68,089 Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin, manakala seramai 3,978 KIR berstatus miskin tegar.
Katanya, jumlah keseluruhan KIR Miskin dan Miskin Tegar adalah seramai 72,067 dan melibatkan 265,335 Ahli Isi Rumah (AIR).
Kedua-dua data adalah berdasarkan pangkalan data kemiskinan nasional iaitu e-Kasih, tambahnya.
“Inisiatif Kerajaan Negeri untuk menoktahkan miskin tegar di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 telah berjaya disifarkan pada 31 Julai 2024 yang lalu, iaitu di bawah Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Satu 2024 yang merupakan pemurnian data yang telah dikunci pada Januari 2023 melibatkan seramai 22,510 KIR dan 94,315 AIR.
“Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk mengkaji semula keputusan menoktahkan miskin tegar yang lalu (Fasa 1-2024) kerana kerja-kerja tersebut telah pun selesai dan dimuktamadkan pada 31 Julai 2024.
“Walau bagaimanapun, data dinamik setakat September 2024 yang diperolehi daripada sistem pangkalan data e-Kasih menunjukkan seramai 3,978 Ketua Isi Rumah (KIR) masih berstatus miskin tegar.
“Perubahan status ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor iaitu perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan yang diterima/ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia/berpindah ke negeri lain,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Jonnybone J. Kurum (Telupid), Calvin Chong (Elopura), Arunamsin Taib (Gum-Gum) dan Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin (Nabawan) yang bertanya tentang status perkembangan bagi inisiatif Kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan di Sabah melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0.
Nizam berkata, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya sedang dalam proses menjejaki KIR yang tidak berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih yang layak mendapatkan intervensi bantuan.
Katanya, kerja-kerja profiling di lapangan yang dilaksanakan oleh pasukan petugas Sekretariat Sabah Maju Jaya telah merekodkan seramai 268 Ketua Isi Rumah (KIR) yang tiada dalam daftar pangkalan data e-Kasih.
“Perkara ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti masalah kewangan untuk berurusan di Pejabat Daerah, kekangan pengangkutan untuk keluar ke pekan, tiada akses kepada pendaftaran di dalam sistem dalam talian e-Kasih, keengganan KIR untuk mendaftarkan diri disebabkan rasa segan atau malu dan sebagainya.
“Dapatan ini berdasarkan daripada kerja profiling hasil aduan dan laporan awam yang dilaksanakan di 23 daerah daripada keseluruhan 28 daerah di Sabah dan 11 daerah kecil.”
Nizam berkata, Kerajaan Negeri akan memperhebatkan lagi usaha untuk menjejaki KIR/AIR yang layak untuk mendapat bantuan. Kerja-kerja susulan di lapangan akan diteruskan bagi memastikan tidak ada rakyat yang tercicir dalam Program Menoktahkan Miskin Tegar di masa akan datang.
“Kerajaan Negeri yakin bahawa lebih ramai lagi penduduk yang masih berstatus miskin tegar tetapi tidak berdaftar dalam sistem e-Kasih.”
Menurut beliau, Sekretariat Sabah Maju Jaya sedang menambah baik banci data kemiskinan dengan menggunakan 13 indikator tambahan khusus untuk Sabah bagi penentuan status kemiskinan dan cadangan intervensi bantuan.
Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Negeri Sabah (PADANS) juga telah dibangunkan dengan tujuan penyimpanan data, solusi intervensi bantuan dan rujukan silang di masa akan datang.
Beliau menjelaskan, Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah menggariskan lima teras utama bagi intervensi bantuan iaitu perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan keusahawanan.
Katanya, setakat Oktober 2024, sebanyak 77,256 intervensi bantuan telah disalurkan kepada golongan miskin tegar.
“Teras intervensi Perumahan memfokuskan kepada penyediaan rumah percuma iaitu Program Rumah Mesra SMJ di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB). Sejumlah 1,500 unit rumah telah diperuntukkan di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap tahun.
“Bermula pada tahun 2025, peruntukan Rumah Mesra SMJ akan dinaikkan kepada 40 unit bagi setiap DUN yang melibatkan pembinaan 3,000 unit rumah di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah dengan kos sebanyak RM250 juta.
“Setakat November 2024, sebanyak 2,908 unit Rumah Mesra SMJ telah disiapkan dan 1,578 unit rumah dalam pelaksanaan untuk disiapkan pada tahun ini.”
Nizam berkata, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) telah memberikan fokus bantuan dalam mengurangkan perbelanjaan isi rumah. Bantuan seperti Bantuan Pendaftaran IPT secara one-off (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri Sabah (BISTARI) melibatkan 32,617 AIR telah menerima manfaat daripada bantuan ini dengan jumlah perbelanjaan berjumlah RM17 juta setakat September 2024.
Bagi intervensi bantuan pekerjaan, setakat September 2024, seramai 220 KIR/AIR telahpun diambil sebagai pekerja melalui program MySMJ Kerja di bawah Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ), Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Sawit Kinabalu Sdn. Bhd., Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA), Kumpulan BTC Berhad dan SBH Kibing Solar Sdn. Bhd.
Nizam turut memaklumkan bahawa seramai 58,463 KIR telah menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan nilai RM200 hingga RM1,200 dan seramai 50,556 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan nilai RM450 hingga RM1,200 bagi golongan Miskin dan Miskin Tegar di seluruh Sabah pada tahun 2024.
Katanya, pemberian bantuan STR dan SARA diberikan mengikut kategori seperti warga emas, bujang dan berkeluarga.
“Setakat ini, sejumlah RM40.13 Juta di bawah Program STR dan RM58.79 Juta di bawah Program SARA telah diagihkan kepada mereka yang tergolong dalam golongan miskin dan miskin tegar di seluruh Sabah.
“Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya juga telah menyalurkan Bantuan Tunai Khas Miskin Tegar kepada 1,218 KIR yang telah dikenal pasti dalam Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Satu 2024 dengan jumlah pemberian bernilai RM300 hingga RM600 bagi tempoh enam bulan dengan peruntukan berjumlah RM2.8 juta.
“Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah seliaan pihak SEDIA dan diselaraskan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) memfokuskan kepada usaha peningkatan ekonomi dalam bidang keusahawanan seperti penyediaan mesin layan diri, perniagaan kedai runcit, program pertanian dan perikanan. Setakat Oktober 2024, seramai 487 KIR telah menerima bantuan iaitu seramai 252 KIR untuk program IPR-BMT yang melibatkan 37 program dengan nilai berjumlah RM4.9 juta, manakala 230 KIR untuk IPR-INTAN dan lima orang KIR untuk IPR-INSAN dengan peruntukan berjumlah RM8.9 juta.”
Nizam berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited dan berusaha dalam Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Dua Tahun 2025, bukan sahaja dalam menangani isu miskin tegar tetapi bersekali dengan kategori miskin.
Katannya, pembancian dan pemantauan kepada KIR/AIR akan diteruskan ke atas nama yang tersenarai dalam Locked Figure Fasa Satu Tahun 2024 dan Data Dinamik dalam pangkalan data e-Kasih.
“Perhatian juga akan diberikan kepada KIR/AIR yang tercicir dalam senarai e-Kasih untuk didaftar masuk ke dalam sistem PADANS bagi tujuan intervensi bantuan yang bersesuaian.”
Beliau berkata, Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Dua Tahun 2025 juga terus memfokuskan kepada enam teras utama iaitu Penambahbaikan pemberian rumah mampu milik; Peningkatan jenis bantuan pendidikan dan latihan kemahiran; Bantuan tunai bersasar; Peningkatan ekonomi sara hidup; Penambahbaikan program bantuan kebajikan; dan Peluang pekerjaan.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Ekonomi Biru juga akan membuka ruang dan peluang ekonomi serta pekerjaan kepada rakyat di Sabah terutamanya golongan miskin dan miskin tegar.
“Kerajaan Negeri akan mengumumkan data dikunci untuk Program Membasmi Kemiskinan dan Miskin Tegar Fasa II – Tahun 2025 dalam tempoh yang terdekat.”
Nizam berkata, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus komited menjalinkan kerjasama erat di dalam agenda pembasmian kemiskinan di Sabah terutamanya miskin tegar seperti yang telah ditunjukkan dalam Program Fasa Satu Tahun 2024 sebelum ini.
Katanya, usaha ini adalah sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0: 2021-2025 Sektor M:Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat dalam usaha pembasmian kemiskinan dan miskin tegar di Sabah.


































