Beberapa kemudahan menjual bahagian badan harimau ke China atau Vietnam bagi tujuan perubatan tradisional.- Gambar Hiasan
CAPE TOWN: Ladang harimau terbesar di luar Asia dilaporkan beroperasi secara bebas di Afrika Selatan, sekali gus memudahkan penyeludupan haram anggota badan haiwan berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, penyelidikan oleh Four Paws, sebuah badan kebajikan haiwan mendapati, terdapat 103 tempat di negara itu di mana harimau dipelihara dalam kurungan pada 2023, 2024 atau tiga tahun sebelumnya.
Laporan itu mendedahkan beberapa kemudahan sedang membiak harimau untuk menjual bahagian badan haiwan tersebut ke China atau Vietnam, bagi digunakan dalam perubatan tradisional.
Ia turut mengenal pasti tiga rangkaian yang dikatakan diketahui atau disyaki terlibat dalam aktiviti haram itu.
Anggota rangkaian sindiket jenayah yang saling berkaitan turut menyiarkan gambar di media sosial untuk mengiklankan produk, dipercayai sebagai gam tulang harimau.
Harimau diklasifikasikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), yang menganggarkan sekitar 5,574 ekor kini tinggal di alam liar pada 2021, di 13 negara Asia.
Perdagangan komersial harimau hidup dan bahagian badannya diharamkan di seluruh dunia sejak 1975, di bawah konvensyen perdagangan antarabangsa spesies terancam fauna dan flora liar.
Bagaimanapun, menurut World Wide Fund for Nature (WWF), aktiviti haram itu terus menjadi ancaman terbesar terhadap populasi harimau liar.


































