LAHORE: Tahap jerebu beracun tebal yang menyelubungi timur Pakistan serta utara India sejak bulan lalu dapat dilihat dengan jelas menerusi imej satelit terkini.
Menurut Utusan Malaysia, imej satelit dari NASA Worldview menunjukkan awan kelabu tebal menyelubungi wilayah Punjab di Pakistan dan meluas ke timur hingga ke India, termasuk ibu negara New Delhi.
Pencemaran yang serius ini memaksa pihak berkuasa di Pakistan menutup sekolah dan ruang awam berikutan ancaman kesihatan kepada puluhan juta penduduk.
Gambar dari bandar Lahore dan Multan hujung minggu lalu menunjukkan kabus gelap menyelimuti jalan raya, mengaburi bangunan daripada pandangan.
Setiap musim sejuk, kawasan ini sering dilanda pencemaran udara yang disebabkan oleh pembakaran sisa pertanian, loji kuasa arang batu, kenderaan dan hari tanpa angin.
Walaupun bandar utama Asia Selatan berhadapan dengan jerebu beracun setiap tahun, pihak berkuasa di Lahore menyifatkan musim ini sebagai luar biasa.
Menurut IQAir yang memantau kualiti udara global, indeks kualiti udara di beberapa kawasan di Punjab, wilayah terpadat di Pakistan dengan populasi 127 juta orang yang telah melebihi paras 1,000 beberapa kali minggu lalu.
Hospital dan klinik di Pakistan kini dibanjiri pesakit yang mengalami masalah kesihatan akibat pencemaran, dengan pegawai kesihatan Punjab melaporkan lebih 30,000 kes penyakit pernafasan di daerah yang terjejas oleh jerebu.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar Pakistan (EPA) pada Ahad lalu menyatakan terdapat peningkatan luar biasa dalam bilangan pesakit dengan penyakit paru-paru, alahan, serta iritasi mata dan tekak di daerah Faisalabad, Multan, dan Gujranwala, di mana tahap kualiti udara berada pada paras amat berbahaya.
Minggu lalu, pegawai di Punjab menghantar surat kepada kerajaan India untuk membuka dialog mengenai isu ini.
Setiausaha Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Punjab, Raja Jahangir Anwar berkata, terdapat keperluan untuk diplomasi iklim sebagai isu serantau dan global.


































