Karim Khan
THE HAGUE: Badan induk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan melancarkan siasatan terhadap Ketua Pendakwarayanya, Karim Khan berhubung dakwaan salah laku seksual.
Menurut Utusan Malaysia, dua sumber memberitahu, Karim digesa untuk berundur sementara daripada peranannya di mahkamah jenayah perang dunia yang berpangkalan di The Hague itu ketika siasatan dijalankan.
Arahan itu dibuat menerusi dokumen dalaman tidak bertarikh dan tidak ditandatangani yang diedarkan kepada negara anggota oleh kakitangan ICC.
Karim menafikan dakwaan salah laku yang dilaporkan dan meminta badan pengawasan dalaman mahkamah sendiri untuk menyiasatnya.
Sumber yang mengetahui perkara itu berkata, siasatan luar telah dipersetujui pada mesyuarat Perhimpunan Negara-Negara Pihak yang merupakan kumpulan teras badan induk mahkamah itu.
Hakim ICC sedang mengkaji permintaan yang dibuat oleh Karim pada Mei lalu untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketua pertahanannya dan pemimpin Hamas.
Karim menegaskan dakwaan salah laku itu bertepatan dengan kempen maklumat salah terhadap pejabatnya.
Dokumen dalaman yang diedarkan untuk perbincangan itu berhujah bahawa badan dalaman bebas mahkamah bagi menilai sebarang perlakuan sepatutnya melancarkan siasatan rasmi terhadap dakwaan tersebut ketika ia pertama kali dilaporkan.
Sumber terdekat berkata, mangsa yang didakwa dalam kes Karim tidak mempunyai keyakinan terhadap kebebasan badan dalaman mahkamah kerana butiran laporan mengenai dakwaan salah laku itu telah bocor.
Dokumen itu jelas menunjukkan tekanan yang semakin meningkat ke atas Karim untuk berundur sementara dan membiarkan salah seorang timbalan pendakwa rayanya mengambil alih siasatan berhubung waran tangkap yang diutarakan beliau kepada ICC.
“Pendakwa raya harus berundur dengan serta-merta untuk membuka jalan kepada siasatan bebas,” kata dokumen itu tetapi tidak jelas sama ada badan induk mahkamah sudah meminta Karim untuk berbuat demikian.
ICC ialah mahkamah tetap yang boleh mendakwa individu untuk jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah pencerobohan di negara anggota.
Badan induknya dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tahunannya awal bulan depan.


































