Kemi Badenoch
Kemi Badenoch dilantik menjadi pemimpin baharu Konservatif dan wanita kulit hitam pertama mengetuai sebuah parti politik utama Britain.
Menurut Utusan Malaysia, beliau memenangi pemilihan Konservatif pada 2 November lalu, dengan janji untuk mengembalikan parti itu kepada prinsip penubuhannya.
Badenoch, 44, menggantikan bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak dan berikrar untuk memimpin parti melalui tempoh pembaharuan selepas kekalahan teruk dalam pilihan raya Julai lalu.
Sebagai tokoh kanan dalam Parti Konservatif, beliau dijangka menyokong dasar untuk mengecilkan peranan kerajaan dan mencabar pemikiran berhaluan kiri.
Badenoch menjadi pemimpin kelima Konservatif sejak pertengahan 2016 selepas memenangi 57 peratus undi ahli parti dalam pusingan akhir pemilihan yang berlangsung selama berbulan, menyaksikan enam calon disaring menjadi dua.
Beliau menewaskan bekas menteri imigresen, Robert Jenrick, yang memperoleh 43 peratus undian.
Sebelum ini, Badenoch secara terbuka mengaku beliau tidak mahu dirinya menjadi tumpuan hanya disebabkan oleh isu kaum.
“Saya adalah seseorang yang mahu warna kulit dianggap sama pentingnya seperti warna rambut atau mata,” katanya ketika ditanya mengenai perasaan untuk menjadi wanita kulit hitam pertama mengetuai Konservatif, pada persidangan parti awal tahun ini.
LATAR BELAKANG
Beliau dilahirkan sebagai Olukemi Adegoke di London pada 1980 dan berasal daripada keluarga yang berada.
Bapa Badenoch merupakan seorang doktor dan ibunya pula ahli akademik, dengan zaman kanak-kanaknya banyak dihabiskan di negara Afrika Barat.
Badenoch terkenal dengan pendekatan politik yang lantang serta kecenderungan untuk terlibat dalam isu perang budaya.
Menurutnya, pengalaman menyaksikan pergolakan ekonomi dan sosial di Nigeria membentuk pandangan politik beliau.
“Saya membesar di tempat yang sering terputus bekalan elektrik, di mana kami selalu kehabisan bahan api walaupun negara itu pengeluar minyak,” katanya kepada BBC.
Setelah kembali ke UK pada usianya 16 tahun semasa tempoh kegawatan di Nigeria,
Badenoch bekerja sambilan di restoran makanan segera sambil menamatkan persekolahan.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan sistem komputer di Universiti Sussex, sebelum memperoleh ijazah undang-undang dan bekerja dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Pada 2012, Badenoch mendirikan rumah tangga dengan seorang pegawai bank, Hamish Badenoch, dan pasangan ini dikurniakan tiga anak.
PERJALANAN POLITIK
Beliau dipilih ke Perhimpunan London pada 2015 dan ke Parlimen pada 2017.
Badenoch memegang beberapa jawatan kerajaan dalam pentadbiran Perdana Menteri, Boris Johnson dari 2019 hingga 2022, sebelum menyertai kumpulan menteri yang meletakkan jawatan beramai-ramai pada Julai akibat skandal yang mencetuskan kejatuhan Johnson.
Beliau mencuba nasib untuk menggantikan Johnson namun gagal, walaupun percubaan itu menaikkan profilnya.
Pada 2022, beliau dilantik sekali lagi sebagai Setiausaha Perdagangan Antarabangsa dalam kerajaan Perdana Menteri, Liz Truss, namun hanya bertahan selama 49 hari sebelum beralih kepada pentadbiran Sunak.
Beliau mengekalkan kerusinya di Parlimen dalam pilihan raya negara bulan Julai lalu, yang menyaksikan Parti Buruh meraih majoriti besar, manakala Konservatif hanya mempunyai 121 wakil daripada 650 kerusi Dewan Rakyat.
Seperti ramai ahli Parti Konservatif lain, Badenoch juga mengidolakan Margaret Thatcher, pemimpin wanita pertama parti itu yang mengubah Britain dengan dasar pasaran bebasnya pada 1980-an.
Dengan latar belakang kejuruteraan, beliau menggambarkan dirinya seorang penyelesai masalah dan pejuang ekonomi rendah cukai, selain berjanji untuk mentransformasikan semula Britain.
Badenoch juga lantang menentang politik identiti, tandas tanpa jantina dan rancangan kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon di UK.
Penyokong percaya gaya kepemimpinan Badenoch yang karismatik dan berani adalah diperlukan oleh Parti Konservatif untuk bangkit semula selepas kekalahan terburuk dalam pilihan raya lalu.


































